Tuesday, January 26, 2016

Peranan Akar Umbi Penting Sampaikan Masalah Rakyat Kepada Kerajaan

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2012/03/musa-aman-sabah.jpg
SANDAKAN : Peranan pemimpin akar umbi penting sebagai jambatan menyalurkan masalah yang dihadapi rakyat kepada kerajaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Justeru, beliau berkata pemimpin akar umbi perlu mengetahui masalah atau keperluan di kawasan masing-masing untuk disampaikan kepada wakil rakyat.

“Mereka merupakan penyalur maklumat kepada kerajaan untuk mengetahui masalah atau keperluan rakyat.

“Permintaan rakyat harus kita tunaikan kerana mereka pilih kita sebagai kerajaan,” katanya pada majlis Makan Tengah Hari Bersama Ketua Jabatan Kerajaan dan Pemimpin Masyarakat, di sini hari ini.

Musa berkata adalah penting kerajaan yang dipilih rakyat mengetahui permasalahan yang dihadapi oleh mereka.

“Semua wakil rakyat perlu rajin turun padang bagi mengetahui masalah yang dihadapi oleh masyarakat di kawasan masing-masing. Dalam hal itu, sudah tentu memerlukan maklumat daripada pemimpin akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, Musa berkata pemimpin akar umbi juga perlu menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan bagi memastikan negeri ini, bebas daripada aktiviti yang boleh mengancam keselamatan.

“Mereka bersama-sama penduduk kampung harus memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dalam aspek menjaga keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata jika ada kegiatan jenayah dan aktiviti yang mengancam keselamatan, mereka harus segera melaporkan kepada pasukan keselamatan bagi membolehkan tindakan diambil.

Pada majlis berasingan, Musa melawat mangsa kebakaran tiga buah rumah di Kampung Sungai Kayu Hujung pada Sabtu lepas, dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga terbabit.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment