Tuesday, January 26, 2016
Papan Iklan #BebasAnwar 'Ghaib' Di Selayang, Muncul Di Kajang & Pandan
PETALING JAYA : Pembangkang terus rancak menjalankan kempen pembebasan
Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila papan iklan gergasi #BebasAnwar dilihat
semakin bercambah di beberapa kawasan di sekitar Selangor.
Walaupun papan iklan gergasi atau billboard #BebasAnwar pertama yang
dipasang di Selayang telah diturunkan baru-baru ini, pembangkang tetap
meneruskan perjuangan untuk mempertahankan bekas ketua pembangkang itu
apabila papan iklan dengan kata-kata 'Bebas Anwar, Bebas Rakyat' terus
ditegakkan di Kajang, dan terbaharu di kawasan Pandan.
Bagaimanapun, tidak seperti di Selayang, kualiti dua papan iklan
tersebut dilihat lebih rendah apabila ia hanya menggunakan plastik yang
pastinya lebih mudah untuk ditanggalkan, sekali gus faktor kos yang
lebih rendah.
Kemunculan dua billboard di Selangor itu sekali gus menjadikan jumlah
keseluruhan billboard #BebasAnwar menjadi tiga, di mana satu lagi telah
dipacakkan di Kubang Semang, Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Kemunculan dua papan iklan gergasi ini juga telah mengiyakan kenyataan
Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh sebelum ini yang percaya
lebih banyak billboard #BebasAnwar akan dipasang pada masa akan datang.
Ahli Parlimen Selayang, William Leong yang bertanggungjawab terhadap
pemasangan billboard di Selayang juga pernah mengeluarkan kenyataan
bahawa billboard seumpama itu akan dipasang di beberapa tempat lagi yang
difikirkan sesuai dalam masa terdekat.
Sebelum ini, William mendakwa pemasangan billboard di Selayang yang
telah diturunkan itu mengikut prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa
tempatan dan telah diberi permit.
Ketika diminta mengulas mengenai papan iklan itu yang 'ghaib' secara
tiba-tiba, Wiiliam menafikan ia diturunkan oleh Majlis Perbandaran
Selayang (MPS).
“Kita sudah periksa, bukan MPS yang turunkannya. Siapa buat saya tak tahu, tapi bukan MPS.
“Ia bukan isu lesen. Apa yang berlaku menunjukkan kita sudah jauh dari
matlamat sebenar untuk mewujudkan demokrasi matang di negara ini,”
katanya.
Setakat ini, tidak diketahui nasib dua billboard terbaharu ini, apakah
ia akan berada di situ untuk tempoh masa panjang atau diturunkan pihak
tertentu jika ia menimbulkan rasa tidak puas hati pihak tertentu atau
menggugat kredibiliti pihak berkuasa tempatan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment