Friday, January 29, 2016
Serang Fitnah Agensi Kerajaan, Tabung Haji Hanya Untuk Buat Rakyat Marah Kerajaan BN
KUALA LUMPUR : Rakyat khususnya umat Islam diingatkan agar
tidak mudah terpedaya dengan gaya licik dan permainan pihak-pihak
tertentu yang akan terus berusaha untuk memburukkan kerajaan menerusi
pelbagai strategi termasuk menimbulkan kesangsian terhadap agensi
kerajaan khususnya Tabung Haji serta pelbagai institusi berkaitan Islam,
Melayu atau Bumiputra.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk
Shamsul Anuar Nasarah berkata tindakan tersebut hanyalah bertujuan
menimbulkan kesangsian serta kemarahan di kalangan umat Islam terhadap
urus tadbir Tabung Haji yang merupakan institusi kewangan umat Islam
terbesar di negara ini.
Menurut
beliau fitnah-fitnah sebelum ini yang menjadi viral di laman-laman
sosial sehingga menimbulkan suasana yang tidak menentu di kalangan
rakyat seperti penghapusan penerima biasiswa JPA, kakitangan awam yang
berstatus kontrak akan ditamatkan dan pelbagai lagi adalah deretan
berita palsu yang pada akhirnya ternyata langsung tidak benar.
Beliau seterusnya percaya tujuan sebenar ialah bagi menimbulkan kemarahan kepada Kerajaan BN yang memerintah pada hari ini.
“Justeru tidak pelik dengan apa yang menimpa Tabung Haji kali ini.
Malah ini kali kedua Tabung Haji diserang oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab sedangkan maklumat yang disebarkan mengenai institusi
tersebut bukan sahaja tidak tepat malah jauh terpesong.
“Rasanya kalau bercakap soal dividen tidak pernah berlaku Tabung Haji
tidak mampu untuk memberikan dividen kepada pendepositnya. Apatah lagi
jika bercakap soal subsidi yang diberikan kepada jemaah haji yang
pertama kali menunaikan haji saban tahun. Malah mengikut rekod Tabung
Haji punyai keupayaan melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana
diamanahkan.
“Sepatutnya apa jua info atau berita yang disebarkan perlulah
diteliti kesahihannya dan bukannya terus melatah,“ katanya kepada
media, di sini, hari ini.
Tabung Haji menjadi sasaran pelbagai spekulasi dalam laman sosial dan
blog sejak beberapa hari ini mengenai tarikh pembayaran Bonus
Pendeposit TH 2015 dan surat Bank Negara Malaysia (BNM).
Namun Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dilapor berkata
serangan yang dibuat terhadap Tabung Haji adalah disebabkan pemimpin
pembangkang tidak berkeupayaan untuk menyerang dirinya secara individu.
Serentak itu, beliau juga memberi jaminan akan memberikan dividen
kepada semua pendepositnya mereka sebelum sambutan Tahun Baru Cina pada
awal Februari depan.
Shamsul yang juga Ahli MT UMNO dann Ahli Parlimen Lenggong seterusnya
mengingatkan bahawa pihak tertentu termasuk pembangkang tidak akan
berputus asa untuk terus melakukan gerak kerja sedemikian rupa dalam
usaha mendapat keuntungan politik.
Semua ini tegas beliau dilakukan dengan tujuan menimbulkan kemarahan rakyat pada kerajaan BN.
“Tidak terkecuali PTPTN sendiri turut menjadi mangsa keadaan
sedangkan kita berusaha sebaik mungkin dalam membantu menyediakan
pinjaman kepada para pelajar untuk meneruskan pengajian.
“Macam-macam ditohmah kepada kita…namun berkat kesabaran dan berkat
usaha yang bersungguh-sungguh dalam membantu pelajar kita ketepikan
segala tohmahan yang dilemparkan. Cumanya seperti yang dikatakan tadi
tapislah segala maklumat yang timbul agar ianya tidak menyulitkan lagi
keadaan. Dan paling penting rujuk dan dapatlah berita dari sumber yang
sahih dan benar,“ katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment