Wednesday, November 11, 2015

NGO Islam Bidas Tawfiq Bawa Fahaman Liberal

KUALA LUMPUR : Tawfik Ismail, anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail dituduh sebagai seorang yang berfahaman liberal apabila mahu Islam diamalkan oleh umatnya di negara ini tanpa perlu ada garis panduan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata, kenyataan Tawfik baru-baru ini bukan saja bercanggah dengan Perlembagaan tetapi ia juga berupa satu hasutan.

“Aswaja mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan anak kepada Tun Dr Ismail iaitu Tawfik Ismail yang mahukan JAKIM dimansuhkan kerana jelas mencabuli Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Islam adalah agama rasmi Malaysia, kewujudan JAKIM sudah semestinya selaras dengan kedudukan Islam di Malaysia. Malah, Islam juga mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Perlembagaan dan tidak sepatutnya isu mengenai Islam disentuh dengan sewenang-wenangnya khususnya bagi mereka berkepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Zamihan lagi, kenyataan Tawfik juga adalah satu penghinaan kepada insitusi Yang di Pertuan Agong selaku payung dan ketua kepada agama Islam di negara ini.

Sehubungan itu katanya, Aswaja mendesak Tawfik memohon maaf kepada JAKIM dan seluruh umat Islam di negara ini dengan menarik kembali kenyataan yang dikeluarkan. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment