Wednesday, November 11, 2015

Rakyat Kelantan Mahu Ke Ditadbir AMANAH? Soal Nasruddin

SHAH ALAM : Parti Amanah Negara (Amanah) harus bertanyakan kehendak rakyat Kelantan terlebih dahulu sebelum berani mencanang cita-cita mereka untuk menggantikan petadbiran PAS di negeri itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan bagaimanapun yakin, majoriti rakyat Kelantan akan menolak Amanah berikutan parti itu ditubuhkan atas dasar tidak puas hati apabila pemimpinnya kalah dalam pemilihan PAS, Jun lalu.

"Kena tengok dahulu penerimaan masyarakat dan saya rasa tidak ada kewajaran untuk rakyat bersetuju atau menerima pandangan beliau tersebut sebab dia ini (Amanah) parti serpihan yang ditubuhkan berdasarkan kepada rasa tidak puas hati kepada PAS.

"Tindakan itu adalah tindakan kacau daun samada dia akan memberikan kemenangan kepada Umno,"katanya ketika dihubungi Antarapos.

Semalam, Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata Amanah bersedia menggantikan PAS mentadbir kerajaan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata langkah itu diambil bagi 'menyelamatkan' kerajaan Islam yang ditubuhkan oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mat Sabu berkata demikian selepas mengadakan ceramah di Kampung Padang Embun, Pasir Mas, malam tadi.

Tambah Nasruddin, rakyat Kelantan perlu menimbang banyak perkara sebelum berlapang menerima Amanah dalam kehidupan seharian mereka.

PAS sebelum ini menyifatkan pemimpin Amanah sebagai 'tidak amanah' dan pengkhianat kepada parti.

"Jadi (Amanah) tidak cukup kuat untuk dia hendak memimpin sebuah kerajaan negeri dan rakyat pun tidak sewajarnya mempertaruhkan masa depan mereka untuk memberi kepercayaan kepada parti yang pada saya tidak amanah, tidak serupa dengan namanya.

"Kita masih stabil dan juga masih kuat, tidak ada masalah hanya beberapa gangguan yang dilakukan oleh seorang dua ADUN itu adalah perkara biasa yang pernah dialami oleh kerajaan negeri Kelantan," ujarnya.

Sokongan rakyat Kelantan kepada PAS buat masa ini amat kuat selepas parti itu diserang bertubi-tubi oleh bekas rakan sekutu mereka DAP dan parti serpihan mereka, Amanah.

Buktinya, PAS berjaya mengumpulkan hampir 100,000 rakyat Kelantan pada Himpunan (H60K) di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, 17 Oktober lalu. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment