Wednesday, November 11, 2015

Selangor Rugi RM800 Juta Atas Tindakan Azmin Tangguh Pelaksanaan Langat 2

http://www.themalaysiantimes.com.my/wp-content/uploads/2013/10/NOH-OMAR-2.jpg
SHAH ALAM : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar mendakwa tindakan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang sering menangguhkan pelaksanaan projek Langat 2 menyebabkan negeri itu kerugian RM800 juta.

Noh berkata ini kerana, dua loji rawatan air baharu terpaksa dibina sementara menunggu projek Langat 2 siap pada 2019.

“Hanya disebabkan politik dan kerajaan negeri tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan sebelum ini, projek Langat 2 yang sepatutnya boleh siap pada 2014 terpaksa tertangguh sehingga 2019.
http://i2.wp.com/mynewshub.cc/wp-content/uploads/2015/11/azmin-ali.jpg?resize=326%2C235
“Bila akhirnya kerajaan negeri setuju ia (Langat 2) diteruskan, rakyat akhirnya juga terpaksa tanggung (kerugian) RM800 juta (untuk pembinaan loji rawatan air baharu),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noh berkata demikian mengulas kenyataan Mohamed Azmin pada Isnin lepas, bahawa kerajaan Selangor akan membina dua loji rawatan air baharu bernilai RM800 juta mulai tahun depan, sementara menunggu projek Langat 2 yang dijangka siap pada 2019.

Dua projek berkenaan ialah Loji Rawatan Air Semenyih 2 di Jenderam Hilir dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang di Kuala Langat.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata projek berkenaan bagi mengurangkan krisis kekurangan bekalan air terawat untuk keperluan rakyat dan industri di negeri itu.

Langat 2 adalah sebahagian daripada Projek Pemindahan Air Mentah yang akan merawat 1.89 bilion liter air mentah untuk disalurkan ke Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebelum ini dilaporkan, berkata kelewatan projek Langat 2 kerana kerajaan Selangor mengarahkan agensi dan pihak berkuasa tempatan menangguhkan pengeluaran segala kelulusan dan permit untuk pembinaan loji itu sehingga penstrukturan semula industri air di Selangor dimuktamadkan.

Penstrukturan semula industri air di Selangor dimuktamadkan pada 8 Sept lepas.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment