Wednesday, November 11, 2015

Skuad An-Nur Bantu Wanita Islam Hadapi Masalah Perundangan Syariah

TEMERLOH : Skuad An-Nur Pergerakan Wanita UMNO Malaysia akan memperluaskan skop tugas mereka dengan membantu wanita-wanita Islam dalam perundangan syariah bagi memastikan hak kaum wanita sentiasa terbela.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kini terdapat ramai wanita yang menghadapi masalah berkaitan perundangan syariah dan memerlukan pembelaan tetapi pada masa yang sama tidak tahu kepada siapa mereka mahu meminta pertolongan.

“Ada wanita yang menghadapi masalah rumah tangga yang berdepan penceraian dan penderaan, memerlukan perbelanjaan yang besar ketika datang ke Mahkamah Syariah.

“Sehubungan itu, Skuad An-Nur akan berperanan sebagai ‘sahabat’ kepada mereka dan membantu apa yang perlu terutama yang memerlukan bantuan bagi mendapatkan peguam syariah untuk mengendalikan kes mereka.

“Saya akan berjumpa dengan menteri yang bertanggungjawab dalam agama yang kebetulan menjadi penasihat kepada Skuad An-Nur pada Januari depan bagi membincangkan perkara ini,” katanya.
TEMERLOH, 8 Nov -- Ketua Pegerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (enam kiri barisan belakang) bersama ahli-ahli  wanita UMNO pada pelancaran pdrogram An Nur Wanita UMNO Pahang di Masjid Kerdau dekat Temerloh, Ahad. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (di kiri Shahrizat). --fotoBERNAMA (2015) HAK CIPTA TERPELIHARA
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skuad An-Nur Wanita UMNO negeri di Masjid Umar Abdul Aziz, Kerdau di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin; Ketua Wanita UMNO Pahang, Datuk Roslin Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohammad Jaafar.

Shahrizat berkata peranan Skuad An-Nur yang pada masa ini lebih tertumpu kepada program amal ibadah amat signifikan dalam keadaan wujudnya banyak isu-isu syariah melibatkan wanita Islam.
Justeru, beliau berkata kewujudan ‘Sahabat An-Nur’ akan memberi harapan baharu kepada wanita Islam yang memerlukan pembelaan sewajarnya.

“Malah ramai daripada Wanita UMNO terdiri daripada peguam-peguam jadi melalui skuad An-Nur ini kita akan meminta mereka secara sukarela memberi bantuan sewajarnya kepada wanita yang memerlukan bantuan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sejak ditubuhkan setahun lalu, Skuad An-Nur telah melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat Islam di seluruh negara.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment