Wednesday, September 02, 2015
Dulu Mereka Beri Gelaran “Katak”… Sekarang Apa Gelaran Yang Patut Mereka Guna?
KUALA LUMPUR : Tindakan 12 wakil rakyat Pas yang menyertai
Parti Amanah Negara (Amanah) bukanlah satu perkara yang mengejutkan dan
bukan senario yang menghairankan kerana tindak tanduk mereka sebelum ini
sememangnya ke arah itu.
Cuma yang menjadi persoalan hari ini apakah istilah yang sesuai untuk
mereka kerana sebelum ini ungkapan yang cukup popular dan gemar mereka
lontarkan kepada mana-mana pihak yang melompat parti dianggap sebagai
‘katak’ dan sebagainya lagi.
Bagi Ahli Parlimen Sekijang, YB Anuar Manap itulah lumrah alam dan
kitaran dunia yang boleh menjadi pengajaran cukup bermakna kepada semua
pihak untuk diselami dan dinilai secara mendalam.
“Apakah istilah yang sesuai dan apakah status yang cukup layak untuk
mereka yang ‘berhijrah’ ini. Sebelum ini cukup popular mereka yang
melompat digelar ‘katak’ dan sebagainya lagi.
“Kali ini apa pula statusnya bagi mereka yang ‘berhijrah’ kepada
parti baru yang dipengerusikan oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad
Sabu yang kalah secara pukal bersama kawan-kawanya yang lain pada
pemilihan parti itu sebelum ini.
“Krisis di Perak pada satu ketika dahulu menimbulkan pelbagai
ungkapan terhadap wakil rakyat yang menjadi bebas. Tidak sanggup untuk
saya gelarkan dengan apa jua gelaran. Namun secara dasar dan secara
umumnya inilah gambaran pemimpin yang boleh dianggap tidak ada
integriti, pendirian dan sebagainya lagi dalam prinsip perjuangan,”
katanya kepada pihak media, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut Anuar Manap seterusnya menambah pelbagai alasan
boleh dilontarkan bagi menghalalkan tindakan menyeberang ke kawasan
baru dan membakar jambatan lama yang sebelum ini menjadi payung di dalam
perjuangan politik mereka.
Beliau percaya jika langkah sama diambil oleh mana-mana pihak
khususnya menyertai UMNO dan sebagainya, sudah pasti akan timbul
pelbagai tohmahan dan pelbagai kata-kata yang tidak enak di dengar.
“Namun hari ini pelbagai alasan keluar daripada kumpulan berkenaan.
Apa pun saya percaya alasan-alasan yang diberikan tidak lebih sekadar
untuk menyedapkan hati dan bukannya benar-benar serius untuk
memperjuangkan kepentingan dan kebajikan rakyat di negara ini,“ ujarnya.
Pada Isnin lalu, Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu
mengumumkan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai wadah politik gerakan
itu.
Selain Khalid, Ahli Parlimen Pas yang menyertai Amanah ialah Datuk Dr
Mujahid Yusof (Parit Buntar), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr
Hatta Ramli (Kuala Krai), Hanipa Maidin (Sepang), Raja Kamarul Bahrin
(Kuala Terengganu) dan Kamaruddin Jaafar (Tumpat).
Turut berbuat demikian adalah lima ADUN Pas iaitu Datuk Seri Dr Nizar
Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk
Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Kelang) dan
Hasnul Baharudin (Morib).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment