Wednesday, September 02, 2015
UMNO Selangor Perlu Hantar Mesej Kepada Rakyat Siapa Perintah Selangor
KLANG : Ketua Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Datuk Zakaria
berkata, UMNO Selangor perlu berubah dan benar-benar bertindak sebagai
pembangkang sekiranya mahu menarik kembali sokongan rakyat.
Ini jelasnya selari dengan kehendak yang dilahirkan oleh Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekiranya mahu Barisan
Nasional (BN) menawan semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU)
ke-14 akan datang.
Ujar beliau, walaupun BN telah menjadi pembangkang di negeri
Selangor, namun sayangnya UMNO masih bertindak seakan pemerintah dan ini
menyebabkan rakyat keliru malah kerajaan negeri Selangor yang diterajui
PKR goyang kaki.
“Kita telah ambil alih kerja mereka. Sepatutnya masalah rakyat mereka
yang selesaikan. Tapi kita terlalu baik hati. Rakyat datang minta
tolong, kita tolong. Jadi rakyat ingat kerajaan negeri yang tolong
mereka sedangkan yang selesaikan masalah rakyat adalah kita.
“Kita sebagai pembangkang takde duit jadi kena buat cara takde duit.
Rakyat kena cari kerajaan negeri jika ada masalah. Jika kita sentiasa
bantu buat kerja orang lain maka tidak mustahil Selangor tetap bukan
milik kita pada PRU-14 nanti,” katanya kepada pihak media.
Tambahnya lagi, apa yang perlu dilakukan oleh UMNO Selangor adalah
perkuatkan parti dan terus membantu kawasan yang sudah sah menjadi milik
UMNO.
“Semua ini perlu dijaga supaya tidak menjadi yang dikejar tidak dapat
yang dikendong pula berciciran. Kita perlu buat kerja-kerja parti. Cari
pengundi baru, berlagak seperti pembangkang. Kita lihat bagaimana
pembangkang mendaifkan diri untuk berlawan dengan kerajaan persekutuan.
“Mereka hanya menawan Pulau Pinang dan Selangor (Kelantan tidak
diambil kira kerana Pas telah keluar daripada pembangkang), tetapi
mereka berlagak seperti mereka yang memerintah negara ini.
“Bila berlawan dengan kerajaan persekutuan, mereka merendahkan diri
di hadapan rakyat agar kelihatan kononnnya merekalah yang terbaik,”
katanya lagi.
Oleh itu jelas Zainuri, untuk menawan kembali Selangor, UMNO Selangor perlu berhenti menjadi ‘pemerintah’.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment