Monday, September 21, 2015
KPN Jawab Tuduhan Mahfuz Polis Diperguna PM Tahan Khairuddin
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
menjelaskan bahawa penahanan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu
Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan adalah bagi membantu siasatan
terperinci berhubung dakwaan maklumat yang disalurkan oleh Khairuddin
kepada agensi asing berkaitan isu 1MDB sebagai palsu.
Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan pihaknya dipergunakan dalam
isu penahanan Khairuddin seperti didakwa oleh Ahli Parlimen PAS Pokok
Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Mahfuz menuduh PDRM dipergunakan oleh Perdana Menteri dalam isu
penahanan Khairuddin menerusi satu kenyataan bertajuk `Mengutuk tindakan
Perdana Menteri Najib mempergunakan pasukan polis untuk menangkap Datuk
Khairuddin Abu Hassan’.
“Polis memandang berat tuduhan dilemparkan oleh Ahli Parlimen Pokok
Sena, Datuk Mahfuz Omar, kononnya PDRM dipergunakan oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menutup mulut sesiapa saja cuba
membongkar penyelewengan isu 1MDB yang turut berkait dengan penyaluran
wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.
“Beliau (Mahfuz) sedia maklum bahawa siasatan ke atas 1MDB dijalankan
bukan saja oleh PDRM, tetapi juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Peguam Negara.
“Beliau juga maklum bahawa proses siasatan belum selesai dan semua
agensi terbabit masih memikul amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas
mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, malam tadi.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, umum mengetahui Khairuddin sudah
membuat laporan polis sebelum ini berhubung perkara terbabit dan
seharusnya memberi ruang serta peluang kepada agensi penguatkuasa
tempatan untuk menjalankan siasatan.
Bagaimanapun, katanya, beliau memilih untuk menggunakan saluran
perundangan asing khususnya Britain, Hong Kong, Perancis dan Amerika
Syarikat dengan tujuan mengenakan tekanan antarabangsa ke atas Malaysia.
“Tindakan Khairuddin (menggunakan saluran perundangan asing) jelas
bertujuan mencabar sistem perundangan Malaysia, mencalar kredibiliti
agensi penguat kuasa tempatan dan mengundang campur tangan asing dalam
sistem demokrasi negara ini.
“Tindakan beliau adalah satu bentuk sabotaj yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan kedaulatan negara,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Khairuddin, 47, ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah
Terkelas dari Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman, di kediamannya
dekat Mont Kiara, kira-kira jam 7.30 malam.
Beliau kini ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan
mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan, atas kesalahan cubaan melakukan
sesuatu aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment