Monday, September 21, 2015
MARA Hentikan Tajaan Kepada Pelajar Baharu Universiti Taylor
KUALA LUMPUR : Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menghentikan penajaan bagi pelajar baharu yang melanjutkan pengajian ke Universiti Taylor atas pelbagai sebab, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun, beliau berkata pelajar tajaan Mara yang sedang menuntut
di universiti berkenaan dibenarkan meneruskan pengajian mereka.
“Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Mara (Datuk Ibrahim Ahmad)
untuk melihat perkara ini … kami akan menghentikan penajaan kepada
(pelajar) pengambilan baharu atas pelbagai sebab.
“Bagaimanapun, kami tidak akan menghentikan penajaan pelajar sedia
ada (di Universiti Taylor) kerana dikhuatiri akan menimbulkan masalah
pada masa hadapan, ” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat
Jualan Teknologi Maklumat (IT) @ Busana di Menara Mara di sini, hari
ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad.
Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas maklumat yang
tersebar di media sosial bahawa Mara akan menghentikan pemberian
biasiswa kepada pelajar tajaannya di Universiti Taylor.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerja-kerja pengubahsuaian pusat
jualan IT @ Busana yang bakal menempatkan kira-kira 30 ruang jualan di
tingkat tiga Menara Mara akan bermula esok dan dijangka selesai November
ini dan dijadual beroperasi sepenuhnya pada Disember ini.
“Pusat itu yang menumpukan penjualan dan pemborongan
alat-alat telekomunikasi dan pembaikan komputer akan memberi ruang
kepada lebih ramai usahawan dan peniaga Bumiputera untuk mengembangkan
perniagaan mereka,” katanya.
Ditanya sama ada permohonan masih dibuka kepada usahawan Bumiputera
yang berminat untuk menjalankan perniagaan di pusat itu, Ismail Sabri
berkata: “Kita akan mempertimbangkan permohonan mereka dan sekiranya
sambutan menggalakkan, kita akan menimbangkan untuk membuka satu lagi
tingkat kepada mereka.
“Keutamaan akan diberikan kepada usahawan dan peniaga Bumiputera,
jika ada penyertaan bukan Bumiputera kita akan mempertimbangkannya,”
katanya.
Selain itu, beliau berkata orang ramai masih berpeluang mengemukakan cadangan nama bagi pusat itu sehingga 30 September ini.
Katanya, pemenang tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai
RM5,000, RM3,000 bagi tempat kedua dan RM1,000 bagi tempat ketiga.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pihaknya akan menaik taraf
Bistro Menara Mara secepat mungkin untuk keselesaan para peniaga dan
pelanggan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment