Monday, September 21, 2015
Najib Saksi MoU Penubuhan Negeri Dan Wilayah Persahabatan Melaka-Guangdong
PUTRAJAYA : Melaka dan wilayah Guangdong, China, hari ini
memeterai memorandum persefahaman bagi pewujudan Negeri dan Wilayah
Persahabatan untuk terus memperkukuhkan hubungan persahabatan serta
kerjasama kedua-dua pihak.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Gabenor Wilayah
Guangdong Zhu Xiaodan menandatangani MoU itu, dengan kehadiran Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menyaksikan majlis itu, selepas
menerima kunjungan hormat Zhu dan delegasi beliau di pejabatnya di
sini.
Antara bidang kerjasama di bawah memorandum itu adalah pembangunan
tanah termasuk tebusguna tanah, pertanian, kesalinghubungan, perkongsian
ilmu dalam perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pembangunan taman
perindustrian yang menggalakkan teknologi hijau serta mempermudahkan
komunikasi antara pengamal dan institusi kebudayaan misalnya muzium.
Dalam sidang media selepas itu, Idris berkata pemeteraian MoU
Persahabatan itu merupakan detik bersejarah bagi Melaka dan Malaysia
bagi memperkukuhkan hubungan dua hala khususnya Melaka-Guangdong.
“Perdana Menteri mahu MoU ini tidak hanya bersifat ‘ceremony’ tetapi
mahu pelan-pelan tindakan diambil bagi memberi wajah baharu kepada
landskap ekonomi Melaka dan Malaysia,” katanya.
Idris berkata sebuah jawatankuasa kerja akan ditubuhkan bagi memantau
pelaksanaan bidang kerjasama yang dibincangkan agar menjadi kenyataan
tidak lama lagi.
Katanya ia antara lain melibatkan pembinaan Taman Perindustrian
Maritim, Taman Perindustrian Guangdong-Melaka (pengeluaran barangan
pengguna elektrik), pembinaan pelabuhan laut dalam di Melaka,
pembinaan/penyediaan kawasan-kawasan guna tanah bagi tujuan perdagangan
dan perniagaan.
“Kita akan memulakan kerja-kerja setelah perjanjian di peringkat sub
seksyen ditandatangani termasuk dengan pihak swasta,” katanya.
Pada Sabtu lepas, tujuh syarikat dan agensi kerajaan negeri Melaka
menandatangani MoU bersama tujuh syarikat dari Guangdong dan disaksikan
Zhu yang mengadakan lawatan ke Melaka.
Idris berkata Najib dan Zhu juga mahu penerbangan langsung Melaka-Guangdong dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Turut hadir dalam majlis hari ini ialah Menteri Pengangkutan Datuk
Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka
Siong dan Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting.
Hadir sama Setiausaha Agung wilayah Guangdong Li Feng, Ketua Pengarah
Pejabat Hal Ehwal Luar Guangdong Fu Lang dan Duta China di Malaysia Dr
Huang Huikang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment