Monday, September 21, 2015
Putuskan Hubungan Dengan PM Tindakan Tidak Matang
JOHOR BAHARU : Tindakan Ketua Pemuda MCA Pasir Gudang Cia
Chow Hui memutuskan hubungan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak dilihat sebagai keputusan yang tidak matang, melulu serta
mengecewakan parti komponen Barisan Nasional (BN).
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang Azman Ja’afar berkata
kenyataan Cia yang menyatakan pendirian tidak akan menyokong sebarang
program atau acara yang dihadiri perdana menteri dilihat sebagai tidak
wajar lebih-lebih lagi negara baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan pada
31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September 2015.
“Keputusan yang dibuat itu tidak menggambarkan semangat setiakawan
sebenar parti-parti komponen dalam BN,” kata beliau dalam kenyataan di
sini hari ini.
Menurut beliau seharusnya Cia melihat perkara yang lebih besar selain daripada isu perkauman.
“Ini selari dengan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan
Iskandar berkenaan perkara ini yang tidak mahu isu dan sentimen
perkauman dibangkitkan,” katanya.
Azman berkata Pemuda MCA juga harus sedar dan jangan mudah
terperangkap dengan taktik dan strategi pembangkang untuk melemahkan
lagi persefahaman parti pelbagai bangsa dalam BN.
“Sekarang adalah masa untuk bersatu padu dan bukan memainkan isu
perkauman yang sememangnya merupakan senjata yang sengaja digunakan oleh
pembangkang bagi memecahbelahkan kesatuan, keharmonian dan keutuhan
parti-parti komponen dalam perikatan Barisan Nasional,” kata beliau.
Azman mengulas kenyataan Cia semalam yang menyatakan pendirian
memutuskan hubungan dengan Perdana Menteri berikutan kenyataan Najib
yang menyokong Himpunan Rakyat Bersatu.
“Kami berpandangan bahawa Himpunan Rakyat Bersatu adalah berkenaan
soal kemenangan BN dalam pilihan raya umum yang akan datang,” kata
beliau.
Azman berkata hak ada pada mana-mana pihak untuk mengadakan
perhimpunan selari dengan peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia selagi
ia mengikut peraturan dan undang-undang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment