Tuesday, September 01, 2015
Pemuda UMNO Gesa Pesalah Insiden Pijak Gambar Najib, Hadi Dibawa Ke Muka Pengadilan
SHAH ALAM : Menteri Dalam Negeri digesa untuk mengambil tindakan tegas
terhadap pihak yang sengaja mencetuskan provokasi dengan memijak gambar
dua pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
ketika perhimpunan haram Bersih 4.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, tindakan segelintir
pihak terbabit perlu diberi pengajaran kerana cuba menyemai unsur
kebencian di kalangan rakyat.
Malah tambahnya, pihak berkuasa perlu menggunakan apa saja bukti yang
ada termasuk rakaman video dan gambar bagi mengheret pesalah terbabit ke
muka pengadilan.
"Gunakan segala teknologi seperti rakaman video, gambar dan sebagainya untuk membawa mereka yang berkenaan ke muka pengadilan.
"Sudah tiba masanya untuk bertindak ke atas segelintir mereka yang cuba menyemai unsur kebencian dalam kalangan rakyat.
"Sememangnya insiden memijak gambar pemimpin dan mengeluarkan kata-kata
kesat bukan satu amalan demokrasi yang matang," katanya dalam satu
kenyataan, hari ini.
Tindakan sedemikian jika dibiarkan kata Khairul, bakal memberi gambaran
yang tidak benar kepada rakyat khususnya berkaitan hubungan kaum di
Malaysia.
Malah, Khairul menjelaskan, tindakan segelintir mereka yang melaungkan
kata-kata kesat serta memijak gambar Najib serta Presiden PAS, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang seolah-olah memberi mesej bahawa para peserta
secara keseluruhannya telah menolak kepimpinan dua parti politik Melayu
terbesar di negara ini.
"Pemuda UMNO kecewa dengan kegagalan penganjur Bersih 4 untuk memastikan
para peserta perhimpunan haram itu menjaga disiplin dengan baik, hingga
sesetengah daripada mereka tanpa segan silu menimbulkan provokasi
melampau.
"Jelas sekali, budaya asing yang tanpa segan-silu mengkritik individu
atau pemimpin secara terbuka di tempat awam sudah diangkat sebagai pesta
memaki-hamun pimpinan negara dalam perhimpunan haram di ibu kota hujung
minggu lalu," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment