Tuesday, September 01, 2015
Letaklah Jawatan Wakil Rakyat PAS Secara Bermaruah Jika Nekad Bersama GHB - Nasrudin
KUALA LUMPUR : PAS tetap mahu wakil rakyatnya yang menyertai Gerakan
Harapan Baru (GHB) meletakkan jawatan tersebut yang dimenangi mereka
atas tiket parti Islam itu secara bermaruah.
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan, polemik yang
tercetus selepas kekalahan besar kumpulan progresif pada pemilihan Jun
lalu sewajarnya dinilai dari aspek ketaatan kepada parti.
"Ia ada dua keadaan, yang pertama sekiranya mereka rasmi menubuhkan
parti baru dan menyertai parti baru secara automatik mereka gugur
keahlian (dalam PAS)," katanya dalam temubual ekslusif bersama
Antarapos.
Justeru beliau menegaskan kesemua wakil rakyat PAS yang menyertai
seharusnya melepaskan jawatan berkenaan yang dimenangi atas tiket parti
itu yang turut mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama untuk diletakkan
sebagai calon pada pilihan raya umum.
"Jadi apabila mereka gugur keahlian parti maka secara bermaruah, sewajar
dan selayaknya mereka kena meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.
"Sebab mereka menang kerusi itu adalah atas tiket PAS dan mereka lulus
menjadi calon pun mewakili PAS yang dipersetujui oleh ahli jawatankuasa
kerja PAS dan diluluskan Majlis Syura Ulama," katanya.
Beliau mengulas mengenai kedudukan 12 wakil rakyat PAS yang menyertai
GHB berikutan gesaan sebelum ini agar mereka meletakkan jawatan
berkenaan kerana melanggar bai'ah dan mengkhianati parti.
Bagaimanapun beberapa wakil rakyat yang berkenaan membidas kembali
dengan mempersoalkan gesaan sedemikian kerana bagi mereka baiah adalah
kepada Pakatan Rakyat (Pakatan) dan bukan kepada PAS saja.
Bagaimanapun keahlian tujuh Ahli Parlimen dan lima Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) PAS tergugur secara automatik selepas mereka secara rasmi
diisytiharkan sebagai pimpinan Parti Amanah Negara, parti baru yang
ditubuhkan melalui GHB.
Mereka terdiri daripada Datuk Dr Mujahid Yusof (Parlimen Parit Buntar),
Dr Siti Mariah Mahmud ( Parlimen Kota Raja), Dr Mohd Hatta Ramli
(Parlimen Kuala Krai), Khalid Samad ( Parlimen Shah Alam), Mohamad
Hanipa Maidin (Parlimen Sepang), Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu)
dan Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat).
Sementara lima ADUN berkenaan adalah Datuk Seri Dr Nizar Jamaluddin
(Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi
Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul
Baharudin (Morib).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment