Tuesday, September 01, 2015

Kerajaan Akan Rancang Semula Strategi Capai Defisit Fiskal 3.2 Peratus – Johari

KUALA LUMPUR : Kerajaan perlu mengkaji dan merancang semula strategi sumbernya bagi mencapai defisit fiskal 3.2 peratus yang disasarkan tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani. 
http://assets.nst.com.my/images/articles/15BT01NJHBF.transformed.jpg
“Keadaan bukan lagi seperti biasa kerana kita mempunyai sumber terhad (disebabkan penurunan harga minyak), manakala eksport terjejas,” katanya. 

Separuh pertama 2015, defisit fiskal negara mengecil kepada 2.8 peratus.

“Jadi, apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah untuk kerajaan mengkaji semula pendapatan mereka (Petronas dan syarikat minyak dan gas lain). 

“Dan cuba untuk memaksimumkan dengan pilihan, cara terbaik bagi menggunakan sumber terhad kita dan berjaya mengharungi keadaan ekonomi yang tidak menentu ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak CFO 2015, yang dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI), di sini, hari ini. 

Beliau berkata negara mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar 5.6 peratus dalam suku pertama tahun ini dan 4.9 peratus pada suku kedua dalam keadaan cabaran luaran. 

Dengan prestasi ringgit yang tidak stabil, Johari menggalakkan pemain industri untuk menggunakan bahan mentah tempatan bagi menangani keadaan tidak menentu sekarang tidak seperti semasa ekonomi dalam keadaan baik, apabila mereka biasanya mengimport mentah import dari China yang lebih murah pada masa itu. 

“Tetapi sekarang, sudah sampai masanya untuk kita melihat kepada keperluan industri yang mana bahan mentah boleh digantikan dengan bahan mentah tempatan,” katanya. 

Johari turut memberi peringatan kepada mereka yang mempunyai kecenderungan untuk menukar ringgit kepada dolar Amerika. 

“Bayangkan kesannya kepada negara apabila semua orang mula menukar ringgit kepada dolar AS, melainkan mereka mempunyai tujuan untuk menukarnya, seperti untuk membeli bahan mentah,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment