Tuesday, September 01, 2015

Pijak Gambar Hadi : PAS Perlu Minta Maaf Pada UMNO Sebelum Desak Penganjur Bersih 4

EDITOR MENULIS...
1 SEPTEMBER 2015
hadi-bersih 
Sehari dua ini, marah sungguh ahli dan para penyokong PAS kepada puah Bersih 4. Perasaan marah itu seakan-akan gagal dibendung sehingga ada yang tampil memaki hamun dan mencaci puak yang menghuru-harakan ibu negara pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Semua kerana tersebarnya gambar dan rakaman video yang memaparkan gambar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sengaja dipijak-pijak oleh beberapa individu yang menyertai Bersih 4.

Setahu saya, Presiden UMNO sejak di zaman Tun M lagi, termasuk Pak Lah dan yang terkini Najib sendiri sering dihina dengan provokasi sedemikian. Bukan sahaja gambar mereka dipijak, malah ada kalanya ada yang meludah pada gambar mereka.

Apa yang membuat saya teruja ialah perlakuan itu sebenarnya turut dilakukan sendiri oleh ahli dan penyokong PAS terhadap kepimpinan UMNO. Dan kini, apabila ia berlaku pada Presiden PAS, baru terasa marah, melenting, melatah sehingga bertindak membuat laporan polis?

Kepada polis jugalah mereka mengadu? Sedangkan pada anggota polislah mereka melakukan pelbagai provokasi termasuk mencabar kewibawaan anggota pasukan keselamatan itu untuk menangkap mereka dalam siri-siri Bersih sebelum ini.

Benarlah bagai dikatakan bahawa selagi tidak kena pada batang hidung sendiri, mereka tidak akan tersedar dengan sikap mereka yang melampau. Sudah terhantuk di kepala, barulah mereka tahu betapa sakitnya hati bila imej pucuk pimpinan dihina sebegitu rupa…

Saya difahamkan bahawa Dewan Pemuda PAS menuntut puak Bersih supaya memohon maaf pada mereka dengan kadar segera.

Tapi, apa yang akan mereka buat jika puak Bersih itu enggan mengikut kemahuan mereka untuk memohon maaf? Hendak dibalas dengan pijak gambar Marina Chin, Lim Kit Siang, Guan Eng, Anwar dan Mat Sabu?

Berani mereka buat begitu? Apa yang mereka dapat jika berbuat demikian? Sekadar memuaskan hati?

Pada pandangan saya, inilah yang dikatakan kegagalan PAS dalam melakuka tarbiyah kepada ahli-ahli dan para penyokong mereka. Mereka sewenang-wenangnya menyemai rasa benci pada UMNO dan kepimpinannya yang jelas saudara seagama mereka.

Di dalam masa yang sama, mereka sanggup berpeluk dan bersekongkol dengan mereka-mereka yang terang-terangan menolak Islam dan kepentingan Melayu di negara kita. Mungkin itulah kifarah Allah SWT kepada PAS…

Saya setuju bahawa perlakuan biadap itu sepatutnya tidak dijadikan amalan oleh mana-mana pihak di Malaysia. Namun pada PAS, saya menyarankan supaya mereka rujuk dulu diri sendiri, cermin diri terlebih dahulu dan bermuhasabah sebelum menghamburkan kemarahan mereka kepada puak Bersih yang menghina Abdul Hadi.
pijak
Saya mencadangkan supaya semua ahli dan penyokong PAS memohon maaf terlebih dahulu kepada UMNO dan kepimpinannya yang pernah menjadi mangsa buruk laku mereka sebelum ini. Itupun kalau PAS sanggup mengaku kesalahan mereka sebelum inilah…

Selepas memohon maaf kepada UMNO dan para pemimpinnya, barulah PAS atau Pemuda PAS layak untuk mendesak pihak penganjur Bersih 4 untuk memohon maaf pada mereka. Cara sedemikian barulah dikatakan “gentlemen”, bukan?

Kesimpulannya, saya menyeru kepada rakan-rakan PAS supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Janganlah terikut-ikut lagi dengan konsep “politik kebencian” yang sememangnya bertentangan dengan akhlak dan siyasah Islam. Biarlah DAP, PKR dan puak Mat Sabu sahaja yang bersikap sebegitu…

Justeru itu, renunglah sedalam-dalamnya di dalam diri PAS. Kembalikan tarbiyah Islam yang sebenar. Atur kembali tamrin, tasykil dan ta’lim yang sudah lama dilupakan PAS. Saya doakan agar PAS kembali ke pangkal jalan. Bersama-samalah kita fikirkan ...

Wallahua’lam.

Disediakan oleh : 
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhMoEhF9SBhGuMMWIV247Ei5tk94Gj0YZzzVJ89eF5zV2i_PTSXZix083XM6cNxgxRKqJVlk_dzM3qh_CPVXlkPkZB0_x5juQCeaPmBKncSpi1G3uh1xNh8OkMjfbMkCEyrUxxs6QiNXbsi/s1600/Debat+93.JPG
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment