
Sunday, September 20, 2015
Sampai Bila Umat Islam Di Malaysia Mahu Lupa Pada Pesan Rasulullah SAW?
EDITOR MENULIS...
20 SEPTEMBER 2015
Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam beberapa hadis seperti;
"Sebelum kiamat, akan terjadi banyak fitnah, seperti malam yang gelap gelita, seseorang beriman pada pagi hari dan kafir pada petang harinya, beriman pada petang hari lalu kafir pada pagi harinya, dan menjual agamanya dengan luasnya dunia." (HR. Tirmidzi)
Sabda Rasulullah SAW lagi:
"Kiamat tidak akan terjadi hingga muncul berbagai fitnah, banyak pembohongan, dan pasar yang berdekatan." (HR. Ahmad)
Rasulullah bersabda:
"Di antara tanda-tanda kiamat adalah orang yang bohong dipercayai dan orang jujur didustakan." (HR. Thabrani)
Berdasarkan beberapa potong hadis yang disabdakan Rasulullah SAW di atas, para ulama muktabar di seluruh dunia menerusi ijma' dan ijtihadnya menyimpulkan bahawa fitnah dan penyebaran tentang pembohongan itu merupakan antara petanda hari kiamat semakin hampir.
Diutus sebagai Rasul akhir zaman, Muhammad SAW merupakan perutusan terakhir dari Allah SWT untuk mengingatkan hambaNya tentang hari yang dijanjikan itu adalah sesuatu yang pasti dan bakal dilalui oleh setiap kejadian atau makhluk ciptaan Allah di muka bumi ini.
Secara tidak langsung, kita sebagai umat Muhammad SAW juga merupakan umat akhir zaman dan kita terkemudian lebih dari 1436 tahun dari zaman kekasih Allah itu. Jelaslah kiamat kian hampir.
Sejak terciptanya dunia internet, tidak dinafikan ciptaan barat itu menjadi senjata utama dalam penyebaran cerita karut, pembohongan dan fitnah. Lebih sedekad dilahirkan, internet kini semakin berkuasa di zaman moden ini.
Saya bukan 'anti-establishment' yang benci pada perkembangan teknologi di zaman serba maklumat di hujung jari hari ini. Penulis sendiri aktif bermedia sosial di internet termasuk di Facebook dan aplikasi Whatsapp serta beberapa rangkaian laman sosial lain.
Namun malangnya, boleh dikatakan hampir setiap hari saya disajikan oleh cerita-cerita karut, laporan tidak tepat, tohmahan, fitnah, umpat-mengumpat, keji mengeji sesama Islam, sebaran pembohongan dan termasuk hadis-hadis palsu serta cerita perihal agama Islam.
Peliknya, meskipun cetek ilmu dan tidak tahu tentang perkara tersebut benar atau tidak, masih ramai lagi yang berkongsi, memberi komen, mencetus persepsi dan membuat penyebaran mengenainya tanpa rasa bersalah.
Sebagai contoh, sejak akhir-akhir ini boleh dikatakan setiap perkara negatif yang berlaku akan dikaitkan dengan pihak kerajaan atau para pemimpin tertentu, dan tindakan itu dipercayai sengaja dilakukan oleh 'tentera' pihak tertentu untuk tujuan yang tertentu. Melihat pada trend tersebut, jelas ia mahu memburuk-burukkan pihak kerajaan dan parti yang memerintah.
Misalnya, kes pembunuhan Timbalan Pendakwaraya, Kevin Anthony Morais. Setelah beliau dilaporkan hilang, tiba-tiba saja ada dakwaan yang mengaitkan kehilangan beliau dengan isu 1MDB. Padahal, mendiang sebenarnya tidak pernah ada kena mengena atau mengendalikan isu 1MDB pun. Pelbagai tohmahan, penyebaran dan persepsi dibuat berkenaan kehilangan beliau.
Pelik, bukan? Belum tahu apa-apa, namun sudah ada yang menuduh, mencetus persepsi terhadap pihak tertentu. Lebih pelik lagi, mereka yang tidak tahu apa-apa boleh pula percaya pada dakwaan jahat itu dan menyebarkan anggapan berkenaan di seluruh negara sehingga menyebabkan ramai yang terpengaruh.
Namun setelah disahkan bahawa Morais dibunuh atas satu kes korupsi yang sedang dibicarakan di sebuah mahkamah, apa pula tindakan mereka yang menuduh, mencetus persepsi dan menyebarkan anggapan negatif terhadap pihak kerajaan? Tiada sebarang tindakan, bukan?
Mereka bukan saja tidak meminta maaf, malah tanpa rasa bersalah semakin galak mencetus pelbagai fitnah dan persepsi negatif terhadap pihak sasaran. Sama ada disedari atau tidak oleh masyarakat Malaysia, mereka begitu aktif melakukan kerja-kerja syaitan itu.
Sebagai seorang umat Islam, saya ingin mengingatkan kepada seluruh masyarakat Malaysia, khususnya saudara seagama supaya tidak melayan sebarang penyebaran persepsi yang berunsur syubhah dan fitnah seperti itu.
Secara logik akal, setiap perkara perlu disahkan terlebih dahulu kebenarannya sebelum diyakini kesahihannya. Sebagai contoh, saya lebih meyakini hukum yang dikeluarkan Mufti Perak berbanding seorang ustaz dari Facebook, dan saya meyakini pihak polis yang menyiasat kes berbanding budak tidak lulus SPM di Whatsapp.
Saya menyeru supaya seluruh umat Islam kembali berpegang pada sabda-sabda Rasulullah SAW di atas dan berwaspada dengan unsur-unsur fitnah yang semakin berleluasa di zaman serba moden dan canggih ini. Sesungguhnya yang moden dan canggih itu juga mewakili akhir zaman yang membawa kita ke hari kiamat bukan? Ayuh kembali pada Allah dan RasulNya...
Disediakan oleh :

Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment