Sunday, September 20, 2015
Saya Yang Canang Kepimpinan Melalui Ulamak, Saya Tak Mampu Baiki PAS Lagi – Mat Sabu
Masalah label melabel di kalangan anggota dan pimpinan dalam PAS dan
penguasaan eksekutif dalam Majlis Syura Ulama antara punca pemimpin PAS
yang “gugur setandan” menubuhkan Parti Amanah Nasional (AMANAH), kata
Pengerusinya Mohamad Sabu.
Mengakui tidak mampu memperbaiki keadaan PAS dari dalam, Mohamad berkata
tindakan mendoktrin dengan label – antara lain liberal, munafik haraki
dan peguam neraka – oleh satu kumpulan dalam PAS tidak bersetuju dengan
kumpulan lain, berlaku cukup ketara dan dilihat berbahaya.
Bekas Timbalan Presiden PAS itu berkata, hal demikian jelas berlaku
sewaktu pemilihan parti pada Jun yang menyaksikan kumpulan yang tak
disukai, didoktrinkan dengan panggilan itu.
Lebih membimbangkan lagi, kata Mohamad tindakan mengkafirkan sesama
kumpulan umat Islam yang berlaku di Iraq, Syria dan Libya, telah
meresapi umat Islam di Asia Tenggara termasuk di Malaysia.
“Saya melihat ia satu trend yang berbahaya kepada parti (PAS), Malaysia
dan umat Islam. Oleh tu, wadah baru ini (AMANAH) perlu dijelmakan untuk
memperbetulkan semula konsep Islam yang sewajibnya membawa rahmat ke
seluruh alam.
“Konsep itu sudah menjadi malapetaka, kerana tersalah urus, tersalah
tafsir. Parti Amanah Negara menjadi satu rahmat kepada umat Islam dan
rakyat Malaysia, untuk bawa aliran tajdid kepada orang Islam dan bukan
Islam,” katanya.
Antara wakil rakyat yang tewas dalam permilihan dan meninggalkan PAS
adalah beberapa ahli parlimen dan ADUN antaranya MP Sepang Hanipa
Maidin, Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Mariah
Mahmud (Kota Raja), Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad (Kuala Terenganu),
Aminoul Huda (Parit Raja) dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini, pemimpin yang dikenali Mat Sabu
itu berkata penguasaan segelintir kumpulan khusus sebagai anggota badan
eksekutif PAS dalam Majlis Syura Ulama turut menjadi punca pemimpin
meninggalkan PAS.
Apatah lagi, kata Mohamad, anggota Majlis Syura yang dilantik selama
lima tahun dianggap sukar membuat perubahan dalaman, menyebabkan beliau
dan rakan-rakan memikirkan menubuhkan parti baru yang membawa motto
‘Islam rahmat kepada semua’.
“Saya antara orang yang menjulang (mendacangkan) kepimpinan ulama (suatu
ketika dulu), sehingga wujud Majlis Syura (Ulama PAS). Dahulu orang
(tokoh) yang terlibat dalam Majlis Syura kurang terlibat dengan majlis
eksekutif.
“Misalnya, ada pensyarah, bekas mufti, ilmuan, (mereka) tak kira parti
sangat. Tetapi kebelakangan ini, mereka yang terlibat dengan Majlis
Syura, adalah orang yang terlibat dalam eksekutif sama ada AJK Dewan
Ulama dan AJK Pusat itu sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata pengaruh dan kemasukan graduan Timur
Tengah ke dalam PAS yang membawa balik pemikiran dari Mesir dan negara
lain tanpa melihat realiti di Malaysia antara punca pemimpin PAS
menubuhkan Gerakan Harapan Baru dan AMANAH.
“Pemikiran itu dibawa tanpa melihat suasana sosial dan ekonomi di
Malaysia. Inilah yang kita kata berlaku gugurnya setandan pemimpin lama
dalam parti itu.
“Pengaruh daripada Timur Tengah melanda dan kita kena melihat, kehebatan
Ikhwan Muslimin dari sudut dakwah, tarbiyah, ketahanan dalam perjuangan
tapi kita kena akui kegagalan mereka dalam pemerintahan,” katanya.
Sehubungan itu, dengan kewujudan AMANAH, Mohamad berharap ia menjadi
usaha untuk membendung masalah itu, walaupun dianggapnya masih di
peringkat awal, dibimbangi kesan seperti yang berlaku seperti di Timur
Tengah melanda negara.
“Maka jika tidak tak diubat untuk mencari jalan penyelesaian, masa yang
begitu panjang diperlukan untuk keluar daripada kemelut. Di peringkat
awal kita kurang atau kita matikan ia memberi keburukan kepada Islam dan
kepada umatnya,” katanya.
Ditanya sama ada masalah tersebut disebabkan kelemahan kepimpinan Hadi,
Mohamad mengambil jalan selamat dengan enggan mengulas dan hanya ketawa
apabila soalan itu dilontarkan.
Soal integriti
“Kebolehan, jasa, kekuatan seseorang tidak dinilai (dalam pemilihan
baru-baru ini), tapi apa dinilai – kamu ini daripada puak mana. Bila
penilaian seperti itu, maka diundi mengikut senarai yang diberi kepada
perwakilan.
“Bukan dilihat daripada pencapaian pada orang yang memegang jawatan itu.
Itu yang menimpa parti lama saya dulu, harap ia tidak berulang dalam
Parti Amanah Negara,” katanya.
Selaku ketua AMANAH, beliau mahu menyatukan penghayatan akidah dan
akhlak Islam dan pentadbiran dengan menitik beratkan soal melawan rasuah
dan integriti yang kurang dihayati berbanding masyarakat Eropah.
“Dalam erti kata lain, akhlak Islam ada pada orang Eropah, Jepun, Korea, Singapura. Akhlak jahiliyah ada pada orang Islam.
“Orang melihat integriti dalam pemerintahan kita tak ada kecuali Tok
Guru Nik Aziz. Integriti dalam pemerintahan kita, tidak ada mengikut
laporan dalam dan laporan luar.
“Jadi inilah perlu diutamakan kalau Islam dan umat mahu muncul semula,”
katanya yang menepis tuduhan menjadi kuda tunggangan DAP dan parti itu
tidak memberikan satu sen pun melainkan sokongan moral kepada penubuhan
AMANAH.
Mohamad juga berkata beliau mengarahkan supaya pimpinan AMANAH ‘menutup
mulut’ daripada bercakap mengenai isu pembahagian kerusi dan pilihan
raya umum buat masa ini, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengukuhan
organisasi sehingga Disember.
“Kami nak tumpu mobilisasi ahli, dan menubuhkan kawasan. Itu yang kita
nak tumpu. Saya pun pesan kepada semua pimpinan, jangan bercakap soal
kerusi nak tanding, saya nak tumpu sehingga akhir Disember ini,”
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment