Monday, September 21, 2015
Siapa Kata Anak Muda Tidak Peduli?
Himpunan Rakyat Bersatu yang menyaksikan hampir
200,000 orang Melayu menyertainya pada Rabu lalu di ibu negara telah
menjadi satu simbol kebangkitan orang Melayu. Lebih menggembirakan lagi,
ramai anak muda Melayu turut terlibat.
Ini mengenepikan persepsi pelbagai pihak bahawa anak muda Melayu
tidak bersama kerajaan. Siapa kata anak muda tidak peduli? Lihatlah anak
muda Melayu yang begitu bersemangat menyatakan sokongan kepada
kerajaan.
Sebenarnya, sikap cauvinis parti DAP sendiri telah menarik minat orang Melayu berduyun-duyun berarak ke Padang Merbok.
Tindakan ini boleh dilihat sebagai satu amaran keras daripada
peserta-peserta kepada pihak yang sering memainkan isu-isu perkauman,
memperlekeh orang Melayu dan menghina pemimpin-pemimpin Melayu agar
segera menghentikan tindakan-tindakan yang mengguris hati orang Melayu
itu.
Walaupun perhimpunan ini bukan bermotifkan politik tetapi tidak dapat
dinafikan bahawa semangat serta kesedaran anak muda untuk
mempertahankan pemimpin-pemimpin Melayu yang berjiwa Melayu semakin
bertambah.
Dalam keadaan ibu negara yang berjerebu dan hawa panas terik, kesemua
peserta sanggup berarak jauh untuk berkumpul di Padang Merbok. Lautan
merah menjadi satu simbol penyatuan dan kebangkitan orang Melayu yang
dilihat boleh bersatu tanpa mengira fahaman politik.
Puak-puak DAP terutamanya pasti tidak senang duduk melihat perkembangan ini dan tidak mahu keadaan ini berterusan.
Mereka tentu bimbang, impian DAP untuk menakluki Putrajaya hanya
tinggal angan-angan kerana masih gagal memperdayakan orang Melayu.
Perhimpunan Rakyat Bersatu wajar diiktiraf sebagai contoh kepada
perhimpunan aman di negara ini. Keakuran pihak penganjur yang bersedia
mematuhi semua syarat-syarat perhimpunan membuktikan mereka menyanjungi
undang-undang negara dan keamanan.
Ini berlainan sekali dengan sikap penganjur Bersih yang degil dan
tidak mahu berkompromi dengan cadangan yang diberikan oleh pelbagai
pihak termasuk pihak berkuasa yang sekali gus memberi gambaran bahawa
penganjur tidak profesional dan angkuh.
Justeru kelulusan permit kepada Himpunan Rakyat Bersatu tidak boleh
dilihat sebagai satu tindakan pilih kasih atau double standard
sebaliknya membuktikan dengan jelas siapa yang akur kepada undang-undang
sudah pasti pihak berkuasa sanggup memberi kerjasama.
Contohnya, Himpunan Rakyat Bersatu berlangsung hanya beberapa jam dan tepat pukul 5.30 petang peserta-pesertanya bersurai.
Pemandangan ini tidak seperti semasa perhimpunan Bersih 4.0 yang peserta-pesertanya duduk dan tidur di kaki-kaki lima.
Malah ada yang tidur berhari-hari dan bersembahyang di tepi jalan
sedangkan di Kuala Lumpur ada masjid yang selesa yang boleh digunakan.
Sesungguhnya, Himpunan Rakyat Bersatu ini telah memberi suntikan
semangat baharu kepada anak muda Melayu untuk bersama-sama setiap
peringkat masyarakat untuk mempertahankan negara ini.
Jarang sekali perhimpunan terbesar orang Melayu diadakan dan ia wajar
dilakukan setiap tahun untuk meniupkan kembali semangat orang Melayu.
Sebanyak 14 Resolusi Himpunan Rakyat Bersatu wajar direnungi oleh
semua pihak kerana ia merupakan isi hati orang Melayu dan juga rakyat
Malaysia.
Kerajaan harus mempertimbangkan isi hati orang Melayu agar pemimpin
Melayu tidak terlena dan terleka dan pihak yang tidak bertanggungjawab
akan mengambil kesempatan daripada sikap tersebut.
Sudah pastinya mereka yang hadir di Padang Merbok tidak mahu
perhimpunan tersebut dilihat hanya sekadar menang sorak atau
pertandingan membawa sepanduk semata-mata.
Semua menuntut agar tindakan diambil oleh pemimpin kerajaan terhadap
mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan kekacauan dan menggugat
keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.
Sesungguhnya, Perhimpunan Rakyat Bersatu ini bukan sekadar sorakan
dan perhimpunan yang biasa-biasa, tetapi ia memberi makna yang besar
kepada cerminan masa depan orang Melayu.
Kehadiran anak muda yang terlalu ramai menguatkan keyakinan bahawa
kesedaran telah mulai timbul. Mungkin dengan melihat kepada
senario-senario perhimpunan haram Bersih 4.0 yang lalu, telah membuatkan
anak-anak muda Melayu bangkit daripada kelekaan mereka.
Walaupun masih ada lagi orang Melayu memperlekehkan perhimpunan
Melayu ini melalui media sosial, anggaplah ia satu perjuangan untuk
memberi kesedaran dan jangan berputus asa.
Orang Melayu jangan gentar dan goyang apabila berhadapan dengan
cabaran.
Pertahankan survival bangsa Melayu kerana ia adalah
tanggungjawab kita bersama-sama bukannya terletak kepada parti politik
semata-mata.
Anak-muda Malaysia kena berfikir tentang masa hadapan negara. Dan
pada masa yang sama pihak kerajaan, jangan biarkan mereka ibarat
layang-layang putus tali tanpa memberi perhatian.
Justeru, pemimpin Melayu perlu mewujudkan pelan agenda anak muda
Melayu. Isikan kekosongan semangat mereka kembali serta sediakan tapak
yang cukup kukuh bagi anak muda supaya mereka tidak lalai.
Mungkin semangat anak muda Melayu belum sampai kepada ‘pencapaian’
anak muda 1940an dan 1950an namun sekurang-kurangnya ada kebangkitan
kembali.
Pada penulis, perhimpunan di Padang Merbok itu adalah sebagai satu
isyarat kebangkitan anak muda. Isyarat ini harus dimanfaatkan oleh
pelbagai pihak. Ia seolah-olah satu isyarat ‘Ping’ sudah mula kedengaran
kesedaran yang bergelora anak muda Melayu di Padang Merbok.
Artikel oleh :
EZARUDDIN ABD RAHMAN
Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment