Monday, September 21, 2015
Utamakan Sekolah Satu Aliran
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdul Wahid Omar berkata, sistem sekolah satu aliran merupakan antara
usaha yang perlu diutamakan oleh kerajaan bagi memastikan setiap murid
daripada pelbagai kaum dapat mengenali antara satu sama lain.
Katanya, keharmonian kaum di negara ini perlu bermula di peringkat
sekolah rendah dan murid daripada pelbagai kaum seharusnya ditempatkan
di bawah sistem atau aliran persekolahan yang sama, bagi menjamin
pertumbuhan ekonomi negara melalui perpaduan kaum.
“Saya ada dua anak perempuan seorang tahun enam dan seorang lagi
tahun lima. Salah satu sebab mengapa saya hantar kedua-dua mereka ke
sekolah kebangsaan adalah supaya mereka dapat mengenali orang (kaum)
lain.
“Ia merupakan sekolah yang baik terletak di Putrajaya, tetapi
malangnya tiada kepelbagaian kaum di sekolah tersebut. Terdapat juga
murid daripada kaum India di sekolah itu, tetapi tiada daripada kaum
Cina. Keadaan itu bukanlah sesuatu yang perlu diamalkan di negara ini,”
katanya ketika menjadi ahli panel sempena Laporan Terkini Ekonomi
Malaysia anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), di
sini hari ini.
Turut menjadi ahli panel ialah Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr.
Zeti Akhtar Aziz; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk
Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Datuk Seri
Idris Jala.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pegawai
Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang turut hadir pada
sesi perbincangan tersebut. Tony bertanya bagaimana prospek Malaysia
untuk mencapai pertumbuhan ekonomi di sebalik isu perkauman yang sering
dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.
Dalam pada itu Abdul Wahid berkata, usaha membawa pulang hasil
pelaburan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) di negara asing untuk
dilaburkan di negara ini adalah sesuatu yang baik bagi merancakkan
kembali pelaburan domestik.
Katanya, sehingga Jun 2015, jumlah pelaburan bersih syarikat tempatan
ke luar negara bernilai lebih RM500 bilion mengatasi pelaburan langsung
asing di negara ini yang berjumlah RM477 bilion.
“Itu menandakan syarikat-syarikat Malaysia kini sudah menjadi jaguh
dunia seperti Petronas, Kumpulan Sunway dan AirAsia. Selama ini kita
mengalakkan mereka ke pasaran asing memandangkan pasaran domestik yang
tidak begitu besar,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment