Monday, September 21, 2015
Siasat Dakwaan DEIG Mohon Pinjam RM500j
Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan
Anak Syarikat (JP-ABAS) Selangor digesa memanggil Menteri Besar,
Mohamed Azmin Ali supaya memberikan jawapan sebenar mengenai dakwaan
kononnya Darul Ehsan Investment Group (DEIG) telah memohon cadangan
pinjaman daripada tiga buah bank berjumlah RM500 juta.
Setiausaha Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional
(BN) Selangor, Budiman Mohd. Zohdi berkata, tindakan sedemikian harus
dilakukan bagi memastikan kesahihannya kerana cadangan pinjaman tersebut
dikatakan bertujuan dijadikan modal kerja anak syarikat milik
Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu.
Katanya, berdasarkan laporan sebuah portal, www.malaysia-today.net
pada 8 September lalu, difahamkan sebuah bank telah mengeluarkan surat
tawaran pinjaman kepada DEIG yang mana jika benar, berkemungkinan
digunakan oleh syarikat itu untuk menampung operasinya.
“Kita melihat dakwaan ini satu perkara yang serius yang perlu
disusuli dengan tindakan segera oleh JP-ABAS. Maka, untuk memastikan
kesahihannya, jawatankuasa berkenaan perlu memanggil Menteri Besar
termasuk pengurusan DEIG untuk memberikan keterangan yang sebenarnya di
sebalik dakwaan ini.
“Kita tidak mahu perkara ini terus menjadi polemik lebih-lebih lagi
kemungkinan wujudnya unsur-unsur penipuan di sebalik penubuhan DEIG,”
katanya ketika dihubungi pihak media di sini hari ini.
Budiman yang juga ADUN Sungai Panjang menambah, sekiranya dakwaan
portal itu benar, maka tindakan tersebut dilihat bercanggah sama sekali
dengan kenyataan yang dibuat oleh Mohamed Azmin pada 18 Ogos lalu semasa
sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyatakan DEIG dari segi
struktur modal tidak akan membuat sebarang pinjaman, tidak memiliki aset
dan hanya akan beroperasi pada suku pertama tahun depan.
“Jika kita berpegang kepada kenyataan Menteri Besar ketika sesi DUN
lalu, maka DEIG masih belum beroperasi dan tidak mempunyai aktiviti
setakat ini. Namun, mengapa pula syarikat ini dikaitkan dengan dakwaan
memohon pinjaman untuk modal kerja melibatkan jumlah kira-kira RM500
juta?
“Kita melihat seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dalam soal ini.
Maka sebab itu, kita gesa Menteri Besar tidak terus-menerus mengambil
sikap berdiam diri, rakyat Selangor ingin tahu perkara yang sebenarnya,”
tegas beliau.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada Pengarah
Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi DEIG, Soffan Affendi Aminudin gagal
apabila beliau tidak membalas soalan menerusi aplikasi WhatsApp.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment