Thursday, September 03, 2015
Siapa Sumbang RM2.4 Juta Anjur BERSIH 4....?
Penyumbang RM2.4 juta untuk penganjuran perhimpunan Bersih4 kekal
misteri selepas penganjurnya Maria Chin Abdullah enggan mendedahkan
kepada polis.
Maria berkata, beliau mempunyai hak untuk tidak menjawab soalan yang dikemukakan dan bersedia ke mahkamah sekiranya didakwa.
“Sepanjang proses siasatan kami beri kerjasama penuh kepada polis,
tetapi kami juga menjalankan hak untuk tidak menjawab semua soalan,”
katanya selepas memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman pada Rabu.
Turut diambil kenyataan ialah enam lagi aktivitis propembangkang yang
juga terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram itu iaitu Timbalan
Pengerusi Bersih 4.0, Sarajon Huda Abdul Hassan; Bendahari, Masjaliza
Hamzah; Ahli Jawatankuasa, Farhana Halim dan Fadiah Nadwa; Ahli
Sekretariat, Mandeep Singh serta aktivis pelajar, Adam Adli.
Kesemua mereka hadir pada pukul 10.30 pagi dengan ditemani 10 peguam
antaranya, Datuk S. Ambiga, Latheefa Koya dan Eric Paulsen dan selesai
memberi keterangan kira-kira dua jam kemudian.
Siasatan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 120, Seksyen 124C dan
Seksyen 141 Kanun Keseksaan atas dakwaan menyembunyikan rancangan untuk
melakukan suatu kesalahan, cuba menimbulkan dan mengganggu gugat
demokrasi berparlimen di negara ini serta mengadakan perhimpunan haram.
Mandeep turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.
Dalam pada itu, ditanya mengenai tuntutan kos pembersihan berjumlah
RM65,000 seperti yang disebut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan
dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan semalam, Maria
menegaskan pihaknya tidak akan membayarnya dan meminta supaya perkara
itu dibuktikan di mahkamah.
“Kemukakan bukti, kita akan jawab di mahkamah,” katanya.
Menjawab soalan pemberita mengenai dua wanita yang didakwa memijak
gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang, Maria tidak pasti individu terbabit merupakan
peserta perhimpunan itu memandangkan pihaknya tidak dapat mengawal
tingkah laku mereka yang terlalu ramai.
Bagaimanapun, beliau meminta supaya individu terbabit tampil menyerah diri kepada polis untuk siasatan.
“Selaku penganjur, saya bertanggungjawab secara tidak langsung atas
perbuatan dua wanita itu dan kesal dengan apa yang berlaku. Saya harap
mereka juga dapat mengambil tanggungjawab dan tampil memberi kerjasama
kepada polis,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pihaknya akan tetap
menghantar bil tuntutan kos pembersihan berjumlah RM65,000 kepada
penganjur perhimpunan haram Bersih 4.0.
“Saya tidak kisah, bil itu tetap akan saya hantar ke Bersih. Dalam
tempoh sehari dua ini, kita akan hantar bil kepada penganjur perhimpunan
haram itu,” kata beliau.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment