Monday, September 21, 2015
Tindakan Jika Pembekal Sengaja Naik Harga Barang – Ahmad Bashah
SUNGAI PETANI : Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengambil tindakan
terhadap pembekal dari ladang yang sengaja menaikkan harga barang
menjelang perayaan Aidiladha.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata
walaupun Skim Kawalan Harga tidak dilaksanakan sempena perayaan itu,
namun KPDNKK akan tetap melakukan pemantauan.
“Kalau kita dapati ada kenaikan tidak munasabah, kita akan bagi notis
supaya peniaga beri penjelasan kepada kementerian, agar orang ramai
dapat menyambut perayaan dengan harga barangan yang munasabah.
“Daripada tinjauan yang dijalankan, kita dimaklumkan peniaga bahawa
terdapat pembekal dari ladang menaikkan harga menyebabkan peniaga tiada
pilihan (melainkan menaikkan harga),” katanya kepada pemberita di sini
hari ini.
Beliau memantau bekalan dan harga sempena Aidiladha, di Pasar Awam Taman Ria Jaya dan Amanjaya Mall.
Ahmad Bashah juga berkata pengusaha ladang juga dinasihat agar
tidak menggunakan alasan ‘perlu mengimport bekalan’ untuk menaikkan
harga sehingga pada tahap tidak munasabah.
Beliau berkata sempena sambutan itu, KPDNKK sudah mengarahkan pihak
penguat kuasa untuk berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai
seperti pasar hari, pasar besar dan pasar tani.
“Tinjauan yang dilakukan di Alor Setar semalam dan di Sungai Petani
hari ini mendapati harga yang ditetapkan agak berpatutan,” katanya.
Beliau tidak menafikan berlaku kenaikan harga terhadap lembu hidup yang diimport.
“Memang terkesan sebab kita import lembu hidup (untik ibadah
korban), kenaikan itu memang dirasa, tetapi jualan bagi lembu tempatan,
kenaikannya tidak ketara,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment