Sunday, October 18, 2015
Agenda Hijau Memacu Landskap Sosio-Ekonomi Kedah – Mukhriz
LANGKAWI : Agenda Hijau Kedah yang dilancarkan malam
ini, dijangka mengukuhkan lagi teknologi hijau dan amalan lestari dalam
memacu landskap sosio-ekonomi negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri
Mukhriz Mahathir.
Beliau berkata kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan Kementerian
Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam menghasilkan pelan
tindakan yang dibuat khusus bagi memenuhi kelebihan dan keperluan negeri
ini.
“Kedah telah menarik banyak syarikat teknologi hijau terdiri
daripada pengeluar solar fotovoltan, ladang solar fotovoltan, malah
hospital mesra alam pertama di Malaysia juga terletak di Sungai Petani,”
katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersempena Forum
‘Langkawi Smart Green City’ 2015 di sini.
Beliau berharap forum itu akan meningkatkan pelaburan dalam teknologi
hijau di Kedah, dan pada masa sama menarik minat pembekal penyelesaian
bandar raya pintar untuk melihat secara mendalam kemungkinan melabur di
negeri ini.
“Kami akan melakukan yang terbaik di peringkat kerajaan negeri bagi membantu mentransformasikan bandar-bandar kita, daerah-daerah dan juga
kampung-kampung untuk menjadi lebih pintar dan lebih hijau,” katanya.
Mukhriz berkata penganjuran forum berkenaan tepat pada masanya
berikutan pengumuman oleh kerajaan Persekutuan baru-baru ini, untuk
menjadikan Langkawi sebagai Pulau Rendah Karbon pertama Malaysia
menjelang 2030.
“Visi Pulau Rendah Karbon Langkawi ini akan juga dapat meningkatkan
status Langkawi sebagai destinasi percutian pilihan dengan Agenda
Pelancongan Hijau,” katanya.
Beliau berkata KeTTHA kini sedang merangka satu pelan induk untuk
mentransformasikan Langkawi menjadi Pulau Rendah Karbon seperti Pulau
Jeju di Korea Selatan sebagai penanda aras.
“Dengan pelan induk ini, diharapkan Langkawi akan menjadi contoh
kepada tenaga boleh diperbaharui, mobiliti elektrik, pengurusan sisa
buangan dan bangunan hijau,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan
Air Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili; Timbalan Menteri Sumber Asli
dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri dan anggota Parlimen Langkawi
Datuk Ir Nawawi Ahmad.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment