Monday, October 19, 2015
Ahmad Zahid Antara Empat Anggota Baharu Jawatankuasa Pemilih
KUALA LUMPUR : Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan
usul melantik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
sebagai anggota Jawatankuasa Pemilih menggantikan Tan Sri Muhyiddin
Yassin (BN-Pagoh).
Usul yang dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu
turut mencadangkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam
menggantikan Datuk Seri G.Palanivel (BN-Cameron Highlands) dan Ketua
Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikan bekas
anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Usul yang dikemukakan mengikut peruntukan Peraturan 76,
peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, disokong Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri
Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum diluluskan melalui suara
majoriti.
Bagaimanapun, usul itu tidak melalui jalan mudah apabila ketika sesi
perbahasan pelantikan itu dipertikai beberapa anggota Parlimen termasuk
Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) dan Dr Hatta Ramli (Amanah-Kuala Krai)
dengan alasan anggota yang digugurkan masih merupakan anggota dewan.
Bagaimanapun, hujah mereka dimatikan Menteri Pelancongan dan
Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menjelaskan bahawa
pelantikan Ahmad Zahid adalah kerana beliau adalah Ketua Whip yang
baharu.
“Kedudukan dalam jawatankuasa ini adalah kerana jawatan bukan kerana individu,” katanya.
Jawatankuasa Pemilih dianggotai Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri
Pandikar Amin Mulia sebagai Pengerusi dan enam anggota majlis. Selain
anggota yang baharu dipilih, jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri
di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu, Menteri Pengangkutan
Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah).
Dalam pada itu, sidang Dewan Rakyat yang baharu bermesyuarat hari
pertama hari ini sudah panas dengan pelbagai isu, malah dua anggota
Parlimen DAP, iaitu Lim Lip Eng (Segambut) dan Gobind Sing Deo (Puchong)
diarah keluar daripada persidangan Dewan Rakyat selepas enggan akur
arahan Speaker.
Lim yang bangun bagi meminta penjelasan berhubung penolakan usulnya
mengenai kenaikan kadar tol yang ditolak speaker sebelum itu, direhatkan
selepas dikatakan sengaja mengganggu perjalanan mesyuarat selain
mempertikai keputusan Speaker.
“Sejak bila bila saya tolak usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1)
dan (2) saya akan kaji balik…kalau saya sudah tolak sama ada dalam
majlis atau kamar, keputusan itu adalah muktamad.
Apabila Yang Berhormat
berdiri (selepas dua usul lain dibentangkan), bermakna sengaja untuk
ganggu peraturan mesyuarat,” kata Pandikar Amin.
Gobind direhatkan selepas beliau cuba mempertahankan tindakan Lim dan
mempersoalkan kejujuran speaker dalam memutuskan usul yang dikemukakan
anggota Parlimen selain enggan mendengar arahan Pandikar Amin yang
memintanya duduk.
“Kalau Yang Berhormat tidak berniat untuk berkata demikian ketika
ambil masa untuk tarik balik kenyataan itu. Kecuali sengaja untuk ganggu
ganggu mesyuarat, saya tidak nampak alasan lain,” kata Pandikar Amin
yang bertegas meminta Bentara mengiringi anggota Parlimen itu keluar
dewan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment