Thursday, October 01, 2015
Anifah Kecewa Campur Tangan Menteri Lain Dalam Kementeriannya
Isu ini asalnya adalah mengenai hu ha Duta China ke Malaysia Dr Huang Huikang (gambar) dipanggil mengadap oleh Wisma Putra.
Arahan tersebut dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal
Merican Naina Merican kerana Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman di
luar negara.
Tapi ada kenyataan dari menteri lain yang dakwa arahan Wisma Putra panggil Duta China itu sudah dibatalkan.
Dalam kenyataannya malam Isnin, kata Anifah, arahan tersebut tidak pernah dibatalkan.
Menurutnya Duta Besar China dipanggil ke Wisma Putra bertujuan meminta
beliau mengesahkan sama ada kenyataannya yang dikeluarkan semasa lawatan
ke Jalan Petaling baru-baru ini telah disalah tafsir.
Anifah berkata, perkara memanggil duta merupakan amalan biasa.
"Ini selaras dengan Artikel 41, Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961," katanya.
"Wisma Putra telah membuat perkara yang sama dengan Duta Amerika
Syarikat, Duta Vatican dan Duta Singapura pada masa lalu," kata beliau.
Anifah menjelaskan, sebagai sebuah negara berdaulat Malaysia juga perlu menyampaikan pendiriannya kepada China dengan jelas.
"Dalam perkara ini setelah berbincang dengan Perdana Menteri, saya
membuat keputusan untuk memanggil Duta China untuk hadir ke Wisma Putra
bagi memberi penjelasan," katanya.
Tambahnya, beliau berpandangan isu tersebut tidak perlu dibawa ke
peringkat menteri kerana sebagai amalan biasa ia ditangani di peringkat
pegawai kanan Wisma Putra sahaja.
Pada masa yang sama, Anifah melahirkan rasa dukacita kerana beberapa
menteri Kabinet mengambil beberapa tindakan dan membuat kenyataan akhbar
tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu.
"Untuk makluman, saya tidak pernah sekali pun membatalkan arahan saya
memanggil Duta China ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan beliau,"
katanya.
Jelas Anifah, perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik oleh Wisma Putra tanpa campur tangan menteri-menteri lain.
"Sebaliknya, campur tangan mereka (menteri-menteri lain) telah memberikan persepsi yang negatif di kaca mata orang ramai.
"Saya berharap perkara sebegini tidak akan berulang," tambah beliau.
Pada Isnin Duta China itu mengadakan pertemuan dengan Pemangku Menteri
Luar Datuk Hamzah Zainuddin di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan Putrajaya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Bernama melaporkan Dr Huang
Huikang berkata Malaysia adalah rakan strategik komprehensif bagi China.
Sambil menyifatkan Malaysia sebagai rakan yang boleh diharapkan dan
boleh dipercayai, Dr Huang berkata kedua-dua negara telah bersama-sama
melalui pelbagai cabaran yang dihadapi satu sama lain.
"Kita bersama-sama mengharungi krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan
krisis kewangan antarabangsa pada 2008, gempa bumi Wenchuan, kemalangan
tragis MH370 dan banjir besar di Pantai Timur Malaysia.
"Kita saling memberi sokongan pada masa sesetengah pihak cuba meremehkan
kekuatan dan melemahkan semangat kita. Kita sentiasa bersama-sama
mengharungi saat-saat yang sukar," katanya ketika berucap merasmikan
sambutan ulang tahun ke-66 Penubuhan Republik Rakyat China pada Isnin.
Beliau juga mengucapkan terima kasih berikutan sokongan negara rakan,
termasuk Malaysia, untuk China menjadi bandar tuan rumah pertama bagi
temasya Olimpik musim sejuk dan musim panas pada 2022.
"Saya amat gembira dengan keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa
yang dibuat di Kuala Lumpur pada 31 Julai, dan taman ski hasil pelaburan
ahli perniagaan Cina Malaysia akan menjadi venue utama sukan salji bagi
Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022," katanya.
Dr Huang juga berkata China amat sedar tentang tanggungjawab
antarabangsanya dan akan terus menyumbang sebanyak yang boleh untuk
membina keharmonian dan kemakmuran di dunia.
Kira-kira 500 tetamu menghadiri majlis itu, antaranya Menteri Kerja Raya
Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk
Nur Jazlan Mohamad dan Duta Khas Malaysia ke China Tan Sri Ong Ka Ting.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment