Sunday, October 18, 2015
Apa Pulak Masalah Ni..... Johor Ada Hak Untuk Keluar Dari Malaysia - TMJ
JOHOR BAHRU : Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
bertitah bahawa pandangannya mungkin dilihat bertujuan untuk mencetuskan
sentimen kenegerian, namun sebenarnya perhatian baginda hanyalah khusus
pada rakyat Johor.
“Beta bakal mewarisi takhta negeri Johor dan tanggungjawab utama beta
semestinya terhadap rakyat jelata. Malaysia sangat penting, tetapi
negeri Johor dan JDT akan sentiasa menjadi prioriti utama beta,” titah
baginda.
Dalam satu wawancara bersama portal berita bola sepak tempatan
FourthOfficial.com, baginda bertitah: “Rakyat berhak untuk mengetahui
bahawa segala masalah yang berlaku dalam negara kita pada hari ini,
tiada kena-mengena dengan institusi DiRaja negeri Johor.
“Selama ini, ternyata kami telah berjaya berdiri teguh atas kaki sendiri
serta berdaya usaha. Malah, kami hanya menyertai Persekutuan Malaya
selepas persetujuan antara dua pihak tercapai berdasarkan beberapa terma
asas.
“Dan jika salah satu daripada syarat tersebut dilanggar, maka kami ada
hak untuk menarik diri daripada negara ini. Masyarakat di luar sana
mungkin boleh menuduh beta sengaja mengeluarkan kenyataan provokasi.
“Tapi pada beta, beta hanya melakukan tugas sebagai bakal Sultan negeri
Johor, serta mengingatkan mereka tentang sejarah dan warisan yang
ditinggalkan bumi bertuah ini,” titah baginda lagi, panjang lebar.
Pada Jun lalu, adinda Tunku Ismail, Tunku Idris Sultan Ibrahim telah
mencetuskan kontroversi apabila baginda memuat naik tulisan berunsur
amaran bahawa Johor mungkin akan menarik diri daripada Malaysia,
menerusi akaun Instragram miliknya.
Dalam kiriman yang kini telah dipadamkan, putera itu bertitah bahawa
negeri tersebut telah bersetuju untuk menyertai Persekutuan Malaysia
pada tahun 1946 dengan beberapa syarat.
Ini termasuklah menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi negeri Johor,
hak mutlak negeri terhadap isu air dan darat, serta kerabat negeri
dibenarkan untuk mempunyai angkatan tenteranya sendiri.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment