Monday, October 19, 2015
Apakah Ini Motif Sebenar Serangan Tun M Terhadap Najib?
Baru-baru ini, ada pihak yang mendakwa kononnya mantan Perdana Menteri,
Tun Dr Mahathir Mohamad telah dibeli oleh pihak pembangkang untuk
menjatuhkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Begitulah
dakwaan dari pihak berkenaan.
Kita tidak menyalahkan mereka untuk menuduh begitu pada Tun M.
Mungkin mereka geram dengan tindakan bekas Perdana Menteri itu. Namun
kita tidak pasti dari pihak itu mendapat asas untuk menuduh
sedemikian.
Walau bagaimanapun, saya secara peribadi menolak dakwaan tersebut.
Sebagai seorang yang membesar di zaman Tun M dan mengikuti perkembangan
dunia politik tanahair hampir 20 tahun, saya menolak tuduhan sebegitu
terhadap beliau.
Sekiranya dilihat pada karektor Tun M sejak beliau mula berpolitik,
langsung tidak menunjukkan beliau adalah seorang yang jenis mudah dibeli
dengan wang ringgit. Walau kocek dan akaun banknya kosong sekalipun,
hidupnya kadangkala lebih dari Raja atau Sultan, bukan? Untuk apa lagi
wang padanya?
Pada pandangan saya, mungkin ada agenda besar di sebalik perlakuan
Tun M yang bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan Najib. Selalunya, Tun M
tidak akan begitu bersungguh-sungguh sekiranya agenda tindakannya itu
kecil. Jika agenda kecil, beliau selalunya hanya menghantar
'macai-macai'nya sahaja untuk selesaikan...
Namun agenda untuk menjatuhkan Najib telah membuat Tun M menggagahkan
dirinya untuk berdiri berjam-jam di atas pentas walaupun usianya kini
sudah menjangkau lebih dari 90 tahun. Satu tindakan dan perlakuan yang
amat luar biasa dari orang warga emas yang 'terlalu emas', bukan?
Sejak Tun M mula menjalankan kempen menjatuhkan bekas Perdana Menteri
terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, mungkin ramai yang melihat
tindakan tersebut adalah satu perlakuan normal, tanpa mengetahui agenda
di sebalik agendanya yang lebih besar dan bersifat jangka panjang.
Namun setelah beliau mula menyerang dan begitu serius mahu menjatuhkn
Najib yang beliau setujua sebagai Perdana Menteri menggantikan Pak Lah
dulu, desas-desus matlamat sebenar agenda Tun M semakin dapat dihidu
oleh ramai pihak di dalam UMNO.
Malah ketika itu, ada di kalangan mereka yang memahami gerakan politik
Tun M mula mencatur dan melihat tindakan mantan Perdana Menteri itu
berkemungkinan besar berkait rapat dengan faktor legasi, kroni dan
anaknya, Dato' Seri Mukhriz Mahathir.
Khabarnya, beliau bengang habis apabila Najib masih lagi enggan membina
jambatan bengkoknya di Johor setelah projek mega itu dibatalkan Pak Lah
dulu. Itu hanyalah salah satu dari legasinya, tidak termasuk desas-desus
beliau meminta berbilion ringgit dana kerajaan supaya diberikan pada
Proton dan ditolak.
Kemudian, timbul pula desas-desus yang mendakwa kroni-kroni yang
dikayakan Tun M merungut dan mengeluh kononnya Najib enggan lagi
mengkayakan mereka selepas menjadi Perdana Menteri.
Khabarnya kroninya di dalam Petronas masih selamat kerana beliau masih
lagi menjadi Penasihat di GLC itu. Pernah sekali Tun M mengumumkan
hasrat untuk meletak jawatan sebagai Penasihat Petronas, tapi menurut
desas-desus, beliau telah menghubungi Najib untuk menarik balik
keputusan itu dan mahu terus memegang jawatan tersebut. Khabarnya ia
dilakukan demi menyelamatkan kroni-kroninya, benarkah?
Namun khabar angin yang paling kencang bertiup adalah dakwaan yang
mengatakan Tun M mahu jatuhkan Najib untuk memberikan laluan 'ekspress'
kepada anaknya, Mukhriz untuk menjadi Perdana Menteri dengan seberapa
segera. Kalau boleh sebelum beliau tutup 'mata', begitulah yang tersebar
di laman sosial dan kedai kopi...
Gara-gara desas-desus itu, dikatakan pening juga kepala Mukhriz di
Kedah. Hendak disangkal, yang membuka laluan untuknya itu ialah bapanya
sendiri. Hendak dinafi langkah itu, Najib bukan lawan Mukhriz.
Bertanding Ketua Pemuda dan Naib Presiden UMNO sebelum ini pun gagal,
apa daya Mukhriz untuk rebut jawatan Presiden?
Namun pada saya, sekiranya dirangkumkan ketiga-tiga desas desus dan
khabar angin itu, agak logik juga jika ia dilihat sebagai agenda utama
kesungguhan Tun M untuk menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri. Ahli
politik tetap ahli politik walaupun sudah bersara, bukan?
Walau bagaimanapun, pada pandangan saya, agenda itu tidak sebegitu
mudah untuk dilaksanakan Tun M. Najib bukan Pak Lah. Malah ciri-ciri
politik Najib itu adalah hasil didikan Tun M dan tokoh-tokoh UMNO
terdahulu yang hebat-hebat. Beliau tidak mudah ditumbangkan.
Malah pada pandangan saya, jika Tun M berlebih-lebih sangat dan Najib
sudah hilang sabar serta merasakan perkara serangan itu terlalu
mendesak, mungkin banyak perkara yang kita tidak tahu tentang Tun M
bakal didedahkan pihak tertentu. Itukan 'style' Tun M dulu yang
diperturunkan pada Najib? Ingat pada kes Anwar?
Cuma saya agak terkilan sekiranya Mukhriz yang menjadi mangsa keadaan.
Agak sayang juga jika pelapis kepimpinan UMNO itu 'terkorban' akibat
perlakuan bapanya sedangkan Mukhriz sudah tentu tidak dapat melawan
bapanya itu. Akhirnya, mungkin nanti yang menang jadi arang dan yang
kalah jadi abu, bukan?
Justeru itu, demi kestabilan politik negara dan kemakmuran Malaysia,
tidak perlulah berpolitik sangat. Rakyat muak nanti dengan kredibiliti
Tun M yang semakin tercalar dengan fakta palsu yang diubahsuai.
Takkanlah sudah masuk kubur baru nak berhenti, bukan? Mengucaplah Tun M
dan semoga diberkati Allah...
Fikir-fikirkanlah...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment