Thursday, October 15, 2015
Bakti, Permata Sumbang RM62,000 Kepada Anggota Keluarga Tujuh Murid Orang Asli
KOTA BAHARU : Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri
Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dan Tabung Kesejahteraan
Kanak-kanak Sedunia Yayasan Permata Negara (Permata) hari ini
menyerahkan sumbangan RM62,000 kepada anggota keluarga tujuh murid Orang
Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang yang hilang di dalam
hutan pada Ogos lepas.
Keluarga dua mangsa yang terselamat masing-masing menerima RM6,000
manakala lima keluarga lagi menerima RM10,000 setiap keluarga.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Yang Dipertua Bakti Datin Seri
Rosmah Mansor, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Permata, di
Auditorium Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.
Hadir sama Yang Dipertua Pengerusi Badan Amal Dan Kebajikan Isteri
Wakil Rakyat Dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri
Kelantan (Penawar) Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah, Pengarah Jabatan
Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu Nik Man Nik Ya dan
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir.
Terdahulu, Rosmah beramah mesra bersama dua murid SK Tohoi yang terselamat iaitu Miksudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10.
Rosmah turut menyuapkan ayam goreng kepada Miksudiar yang ditempatkan
di hospital berkenaan sejak Jumaat lepas setelah kanak-kanak tersebut
meminta makanan itu daripada beliau.
Miksudiar dan Norieen adalah antara tujuh murid SK Tohoi di Gua
Musang yang dilapor melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos
lepas kerana takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai
berdekatan tanpa kebenaran.
Dua lagi murid, Sasa Sobrie, 8, dan Ika Ayel, 9, disahkan meninggal
dunia manakala dua rangka turut ditemui tetapi masih belum dikenal
pasti. Tiga lagi murid dalam insiden itu adalah Linda Rosli, 8, Haikal
Yaakob, 8, dan Juvina David, 7.
Sementara itu bapa Ika, Ayel Ajib, 40, berkata dia sukar menerima
hakikat kematian anaknya itu yang meninggal dunia kerana kelaparan
selepas tersesat di dalam hutan selama lebih 40 hari.
“Saya tak boleh terima cara kematian anak saya.. bagi saya ia cukup
menyayat hati. Kalau dia meninggal dunia kerana sakit, itu cerita lain.
“Bagaimanapun, kami terpaksa reda dengan pemergiannya dan mayatnya
akan dikebumikan di Kampung Penad selepas menjalani ujian DNA,” kata
bapa kepada 10 orang anak itu ketika ditemui pemberita selepas majlis
berkenaan.
Bapa Sasa, Sobrie Latif, 25, pula berterima kasih kepada isteri
perdana menteri yang tampil menghulurkan sumbangan kepada mereka.
Walaupun sukar untuk melupakan kejadian yang menimpa anaknya itu namun dia pasrah menerima takdir dan meneruskan kehidupannya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment