Saturday, October 17, 2015

Bantah Kenaikan Tol : Kenyataan Azmin Retorik Politik Semata-Mata

SHAH ALAM : Arahan Kerajaan Negeri Selangor yang meminta dua anak syarikatnya untuk mendesak mesyuarat khas lembaga pengarah membantah kenaikan kadar tol di dua lebuh raya di negeri itu disifatkan hanya retorik politik semata-mata.

Ia berdasarkan kepada kenyataan Menteri Besar Selangor, Mohamad Azmin Ali yang mahu dua syarikat berkenaan mendesak diadakan mesyuarat khas lembaga pengarah membantah kenaikan kadar tol.

Menurut penganalisis politik, Syed Agil Syed Alsagoff kenyataan Azmin itu hanya kata-kata daripada seorang pemimpin yang tidak mampu berbuat apa-apa untuk menahan kenaikan tersebut.























"Pada pandangan saya itu adalah retorik politik. Kalau apa-apa isu oleh kerajaan, naik minyak 10 sen pun dia (pembangkang) akan bantah. Dalam hal ini kita nampak bahawa peratusan yang tinggi terhadap kenaikan tol tetapi kita perlu ingat bahawa jumlah selenggara untuk menaiktarafkan lebuh raya sudah meningkat," katanya kepada Antarapos.

Kerajaan Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memiliki 30 peratus saham dalam konsesi Lebuhraya Kesas sejak 1993 dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) pula sebanyak 20 peratus dari 1999 di dalam konsesi Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Lebuhraya Damansara–Puchong (LDP).

"Jika ada bantahan daripada pihak pembangkang, dari pandangan saya itu adalah satu retorik politik yang bertujuan untuk mendapatkan simpati rakyat terhadap isu-isu ini," katanya.

Dalam pada itu, Syed Agil turut berpendapat langkah kerajaan untuk menaikkan kadar tol tidak harus dipandang negatif kerana kos penyelenggaraan lebuh raya kini kian meningkat dek kejatuhan nilai ringgit.

"Kita harus tengok dari segi rasional kenapa kenaikan itu dibuat, untuk apa ia dibuat dan yang paling penting sekali bagaimana kita nak pastikan lebuh raya itu dalam keadaan yang baik," soalnya.

Semalam, Azmin berkata kerajaan Negeri telah memanggil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad untuk memberikan penjelasan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Bermula semalam, bayaran tol di 18 lebuh raya di seluruh negara mengalami kenaikan antara 10 sen hingga RM4.70.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment