Thursday, October 01, 2015
Hapuskan Persepsi Masuk Sekolah Kebangsaan Masuk Sekolah Melayu
KUALA LUMPUR : Penganalisa politik, Prof Madya Shamsul Adabi
Mamat berkata sistem sekolah satu aliran merupakan salah satu usaha
terbaik yang boleh dilaksanakan bagi meningkat intergrasi dan
keharmonian antara kaum di negara ini.
Beliau yang merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) percaya, bahawa sekolah satu aliran merupakan satu perkara yang
menjadi hasrat rakyat di negara ini untuk memupuk semangat toleransi dan
kebersamaan antara rakyat berbilang bangsa di Malaysia.
“Berdasarkan suasana politik Malaysia hari ini yang nampaknya sudah
mula menjurus ke arah isu-isu kaum, maka sekolah satu aliran ini
merupakan satu usaha untuk memupuk keharmonian antara bangsa dan agama
di peringkat awal persekolahan.
“Hari ini saya kira ramai dikalangan
bukan Melayu yang menyimpan persepsi seolah-olah masuk sekolah
kebangsaan seolah-olah masuk sekolah Melayu. Ini tidak benar.
“Selepas merdeka, kita mengekalkan sekolah vernakular dengan harapan
untuk membentuk keharmonian dengan acuan kita sendiri namun jelas hari
ini, sistem sekolah satu aliran lebih baik dan lebih mampu untuk membina
ikatan perpaduan antara kaum yang diterapkan sejak kecil lagi,”
jelasnya kepada pihak media di sini hari ini.
Bagaimanapun menurut beliau, sudah pasti kerajaan akan menghadapi
kesukaran untuk mengubah dan merealisasikan usaha untuk mewujudkan
sistem sekolah satu aliran secara keseluruhannya di negara ini.
“Perkara ini pastinya mendapat tentangan dari pemimpin politik dan
NGO berhubung pelaksanaan sekolah sistem aliran ini. Ini bukan perkara
baru dan setiap kali kita mengutarakan isu sistem sekolah satu aliran,
ianya pasti mendapat tentangan yang hebat daripada NGO dan pemimpin
politik khususnya dari kaum Cina.
“Kita tidak boleh bertindak secara drastik untuk menutup sekolah
vernakular tetapi untuk permulaan, kita boleh mengarus perdanakan
sekolah-sekolah vernakular dengan menerapkan sistem pendidikan seperti
mana yang diterapkan di dalam sekolah-sekolah kebangsaan seperti
mewujudkan kelas pendidikan Islam, kelas bahasa Melayu dan lain-lain.
“Kita juga boleh menggalakkan anak-anak Melayu untuk memasuki sekolah
jenis vernakular ini dan sehubungan itu, sistem pendidikan sekolah
vernakular mestilah diperkasakan dengan konsep dan sistem yang
diterapkan di sekolah-sekolah kebangsaan,”ujarnya.
Beliau juga secara peribadi berpandangan bahawa sekolah vernakular
tidak sepatutnya diwujudkan kerana ianya tidak dapat menyelesaikan
masalah yang dihadapi oleh rakyat, terutama berhubung isu perpaduan dan
keharmonian di antara rakyat berbilang bangsa di negara ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment