Saturday, October 17, 2015
Indeks Gender Wajib Dimasukkan Dalam Laporan Tahunan Syarikat
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Sekuriti melancarkan
inisiatif baharu untuk mewajibkan syarikat memasukkan indeks gender
dalam laporan tahunan mereka bagi memantau kepelbagaian gender dalam
pertubuhan mereka.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata inisiatif itu
adalah sebahagian daripada dasar kerajaan untuk meningkatkan jumlah
wanita dalam jawatan pembuat keputusan di sektor awam dan swasta, kepada
30 peratus menjelang tahun depan.
“Menjelang tahun depan, kita akan tahu komposisi wanita dalam setiap
anggota lembaga pengarah syarikat, (peringkat) pengurusan, dan pekerja,”
katanya ketika merasmikan Persidangan ASEAN mengenai Wanita dalam
Politik (ASEAN WIP KL2015) di sini hari ini.
Beliau berkata bagi merancakkan usaha negara dalam menggubal dasar
dan undang-undang khusus bagi wanita, kerajaan turut menubuhkan Majlis
Penasihat dan Perundingan Wanita.
“Majlis ini akan bertindak sebagai pasukan pemikir, pemantau dan
penilai kecekapan serta keberkesanan dasar dan program kerajaan
berkaitan wanita selain akan melaksanakan peranan penting sejajar dengan
Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita.
“Inisiatif ini susulan pemasukan ‘Mendukung Peranan Wanita’ sebagai
satu daripada strategi utama dalam bajet lepas – yang menggariskan
perancangan untuk menambah baik akses kepada pasaran kerja bagi semua
wanita,” katanya.
Najib turut menegaskan bahawa Malaysia berbangga dengan tradisinya mengiktiraf wanita yang berjiwa kental.
“Tradisi inilah yang kami harap dapat diperkukuhkan di masa depan,
meningkatkan jumlah pemerkasaan pemimpin wanita yang kita ada hari ini,
dan memastikan bahawa semua wanita – merangkumi semua wilayah –
mempunyai peluang setara untuk berjaya di hari muka,” katanya.
Beliau berkata wanita mempunyai peranan serupa, yang sememangnya
penting, untuk dilaksanakan dalam perkara berkaitan politik, tadbir urus
dan kepimpinan.
“Kita mesti mencabar dan mengatasi resaman sosial yang menyatakan
bahawa peranan wanita hanyalah sebagai suri rumah. Kedua-dua gender,
baik lelaki mahupun wanita, mesti memahami bahawa tanggungjawab ini
perlu dikongsi dan lelaki perlu turut berkongsinya.
“Hanya dengan mempunyai penetapan minda seperti ini, wanita dapat pergi jauh, dan benar-benar setara di tempat kerja,” katanya.
Sementara itu, mengenai ASEAN WIP KL2015, Najib berkata
persidangan berkenaan membawa banyak manfaat, memandangkan ia bertujuan
mewujudkan rangkaian politik bagi wanita ASEAN yang terbabit dalam
politik selain menggalakkan penyertaan lebih besar golongan wanita dalam
jawatan pembuat keputusan dan proses pemilihan.
“Ini hanyalah permulaan, daripada apa yang saya harapkan supaya
menjadi trend yang berkembang dalam kerjasama dan perkongsian negara
anggota ASEAN hari ini.
“Kita mesti menggalakkan dan menyokong pertukaran idea merentasi
sempadan, dan kemudiannya mewujudkan persekitaran untuk idea itu
dilaksanakan. Ayuh kita belajar daripada satu sama lain, dan dengan
berbuat demikian, turut saling memperkukuhkan diri kita,” katanya.
Beliau berkata Malaysia berbangga untuk menyokong saluran dan wadah
apabila pemimpin wanita dapat berkongsi pendapat serta idea ke arah
mempertingkatkan perwakilan wanita dalam politik.
Najib berkata beliau menantikan penubuhan sekretariat wanita dalam
politik di Kuala Lumpur bagi memastikan dialog dan kerjasama ini
dijadikan acara tahunan.
ASEAN WIP KL2015 adalah persidangan antarabangsa anjuran Wanita
Barisan Nasional, berkaitan wanita dalam politik, yang diadakan buat
julung kali dengan dihadiri 121 delegasi daripada 24 parti politik di
rantau ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment