Thursday, October 01, 2015
Keluarga Presiden PAS Berpecah Kerana Parti Amanah Negara
Dasar pecah dan perintah DAP akhirnya berjaya dilaksanakan dalam PAS.
Ini berikutan dengan penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) yang
dipimpin oleh Mohamad Sabu yang juga merupakan Pengerusi Gerakan Harapan
Baru (GHB). Bukan lagi rahsia bahawa DAP berada di belakang Parti
Amanah ini.
Apabila pemimpin progresif dalam PAS meninggalkan parti itu dan
menubuhkan Parti Amanah Negara maka berlakulah perpecahan. Bukan sahaja
ahli PAS dan pemimpinnya berpecah, malahan ahli keluarga presiden PAS
Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut sama menjadi mangsa.
Miqdad Zakaria yang merupakan anak saudara Hadi Awang di sebelah
isterinya telah dilantik sebagai ketua Amanah kawasan Marang sedangkan
Haji Hadi merupakan ahli Parlimen Marang. Rusila, Marang adalah tempat
kelahiran Haji Hadi. Mereka dikelilingi sanak saudara sejak berpuluh
tahun dahulu.
Untuk makluman, rumah Miqdad hanya 200 meter sahaja dari Masjid Rusila
dan juga rumah Hadi. Sejak sekian lama beliau adalah ahli jemaah masjid
itu dan kekal hingga sekarang. Tindakan Miqdad menerima pelantikan
sebagai ketua Amanah Marang, kawasan Parlimen yang diwakili Hadi, telah
menyebabkan beliau diboikot oleh penyokong PAS di tempat tinggalnya
sendiri.
Pada 19 September, Miqdad bersama ahli jawatankuasa Amanah Marang
melancarkan program pertama mereka pada majlis pembukaan pejabat di
Wakaf Dua iaitu kawasan penempatan campuran antara Melayu dan Cina dalam
kawasan Marang.
Jarum perpecahan yang disuntik ke dalam PAS ini telah memecahbelahkan
keluarga Hadi Awang. Bagi pihak Miqdad pula beliau terpaksa berhadapan
dengan situasi yang cukup tidak menyenangkan apabila salam beliau tidak
dijawab, 24 surau dan masjid yang selama ini menjemput Miqdad untuk
memberikan kuliah sudah berhenti berbuat demikian.
Namun perkara inilah yang diingini oleh “musuh” Haji Hadi. Mereka mahu
Haji Hadi berada dalam keadaan tidak tenteram dan huru-hara agar lebih
mudah PAS diperkotak-katikkan.
Keluarga Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Nik Zawawi Salleh juga
berpecah belah kerana Parti Amanah apabila adiknya, Saberi Salleh
sendiri turut menyokong Amanah. Saberi yang kini tinggal di Pasir Puteh,
Kelantan juga menjadi penggerak utama penentangan terhadap kepimpinan
PAS sejak penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia atau PasMa,
kemudiannya Gerakan Harapan Baru (GHB) dan kini Amanah.
Di Bachok, Kelantan pula anak dan cucu bekas yang dipertua PAS Bachok
allahyarham Datuk Omar Muhamad juga menjadi penggerak utama Amanah
kawasan itu. Khairudin Omar, anak bekas speaker Dewan Undangan Negeri
Kelantan itu kini ketua Amanah Bachok manakala anak beliau yang juga
cucu Omar, Syahidulamri Khairudin ketua Pemuda Amanah Bachok.
Sebelum ini Haji Hadi telah mengeluarkan kenyataan dengan menyifatkan
mereka yang menyertai Parti Amanah adalah pengkhianat dan tidak akan
bekerjasama dengan mereka.
Umum mengetahui bahawa DAP seolah-olah berdendam dengan PAS apabila
mereka terus berkeras mahu melaksanakan Hudud PAS. Ianya juga antara
punca pakatan rakyat yang tidak pernah didaftarkan pun itu terbubar.
Parti Amanah ini dilihat sebagai alternatif DAP untuk mendapatkan
sokongan Melayu apabila mereka gagal bekerjasama dengan PAS.
Selain daripada itu, Parti Amanah ini juga dilihat seolah-olah menjadi
alat yang cukup ampuh untuk menghancurkan PAS demi dendam peribadi DAP
terhadap mereka. Maka tidak hairanlah apabila parti Amanah mensasarkan
keahliannya seramai 100,000 sebelum hujung tahun ini dan majoriti
ahlinya merupakan bekas ahli PAS.
Pengkhianatan parti Amanah terhadap PAS ini cuba dikaburi dengan tagline
kempen “Amanah Sayang Semua” yang kononnya menyebarkan kasih sayang
dengan taglinenya Amanah Sayang Semua, sedangkan mereka merupakan
pengkhianat dalam perjuangan PAS.
Sebenarnya kita tahu bahawa DAP bukan sahaja mahu memecahbelahkan PAS,
mereka juga mahu memecahbelahkan orang Melayu demi memastikan agenda DAP
untuk memerintah negara kita terlaksana. Oleh itu, bersatulah orang
Melayu demi memastikan kesinambungan bangsa Melayu dan agama Islam dalam
negara kita.
Cari titik persamaan. Jangan diperbesarkan titik perbezaan, di situ bermulanya perpaduan kita.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment