Wednesday, October 07, 2015
Kementerian Dalam Negeri Akan Perjelas Penempatan 3,000 Pelarian Syria – Reezal Merican
PUTRAJAYA : Kementerian Dalam Negeri akan memberi penjelasan terperinci mengenai 3,000 pelarian Syria yang akan mendapat perlindungan di Malaysia dalam tempoh tiga tahun, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Beliau berkata pada masa sekarang perkara tersebut masih pada peringkat awal.
“Ini masih pada peringkat awal. Tidak ada apa lagi pada saya. KDN
yang akan uruskan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai
hasrat Malaysia menerima 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun.
Minggu lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam
ucapannya pada Perhimpunan Agung ke-70 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
mengumumkan kesediaan Malaysia menerima 3,000 pelarian Syria bagi
membantu krisis pelarian rakyat Syria.
Timbalan Perdana Menteri Datuk seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula
berkata Malaysia akan menawarkan perlindungan dan pekerjaan sementara
kepada semua pelarian terbabit selain kemudahan pendidikan semasa di
negara ini.
Sementara itu dalam ucapannya pada majlis Anugerah Perkhidmatan
Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2014, Reezal Merican menyifatkan tempoh
dua bulan tujuh hari beliau selama berada di Wisma Putra sebagai penuh
warna dan pengalaman yang pelbagai.
“Saya berpeluang menyertai beberapa perbincangan, mesyuarat dan
membuat kenyataan akhbar sehinggalah saya disifatkan sebagai seorang
timbalan menteri yang tidak berprotokol.
“Saya menganggap semua pengalaman itu sebagai lengkungan pembelajaran,” katanya.
Pada majlis anugerah hari ini, seramai 61 warga kerja Kementerian
Luar yang berkhidmat di Wisma Putra dan 34 lagi warga kerja yang
berkhidmat di pejabat perwakilan Malaysia di pelbagai negara menerima
anugerah perkhidmatan cemerlang.
Turut menerima diberikan penghargaan ialah 22 pesara yang menerima anugerah Jasamu Dikenang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment