Wednesday, October 07, 2015

Sudah Terdesak Sangat Sampai Gambar Pun Diguna Untuk Cop Pro Israel

KUALA LUMPUR : Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Rafique menyelar tindakan pembangkang yang cuba memanipulasikan gambar perbualan Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ketika sedang menunggu kenderaan rasmi setelah selesai persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Menurut beliau, jelas bahawa pembangkang hari ini kekontangan isu apabila mendakwa gambar tersebut adalah gambar pertemuan antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Netanyahu, sedangkan hakikatnya kedua-dua pemimpin itu bertembung secara tidak sengaja.

“Jelas hari ini pembangkang sudah kekeringan modal apabila cuba memanipulasikan peristiwa Datuk Seri Najib terserempak dengan perdana menteri Israel setelah beliau selesai berucap di persidangan persatuan bangsa-bangsa bersatu baru-baru ini.
Datuk-Zainal-Abidin-Bukit-Bintang
“Pihak pembangkang mendakwa gambar adalah pertemuan antara Datuk Seri Najib dan Netanyahu sedangkan perkara yang sebenarnya ialah Najib terserempak dengan beliau ketika menunggu kereta rasmi untuk membawanya pulang.

“PM pun telah menjelaskan perkara tersebut di mana ianya sekaligus menafikan dakwaan pembangkang serta memperlihatkan bagaimana sikap pembangkang yang sering kali menggunakan pendekatan politik tohmahan dan berunsurkan fitnah untuk memburukkan kerajaan dan Datuk Najib sendiri,” tegas beliau kepada pihak media di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, ucapan Datuk Najib yang menegur kepimpinan Israel dengan menggunakan petikan daripada kitab ajaran yahudi yang mendapat pujian dari sebuah akhbar Israel turut dimanipulasikan oleh pihak pembangkang.

“Apabila PM kita menasihati Israel dengan cara lembut, dengan mengajak Israel menghayati ajaran Yahudi, apakah itu dianggap beliau pro kepada tindakan Israel membunuh rakyat Palestin?

“Saya kira beliau seorang yang berani apabila secara terang-terang mengajak kepimpinan Israel agar kembali menghayati ajaran mereka dan berhenti dari tindakan kejam mereka menindas rakyat Palestin.

“Bayangkan selama 60 tahun Israel kena maki hamun dengan pemimpin Islam, tiba-tiba hari ini ada pemimpin Islam yang bercakap secara baik-baik dan berikan nasihat meminta Israel kembali kepada ajaran agama mereka, mungkin mereka merasa terharu dengan tindakan sebegitu,” ujarnya.

Jelas Zainal, tindakan Najib menasihati mereka dengan menyebut petikan dari kitab ajaran mereka sendiri, ternyata ianya amat berbeza dengan cara kritikan keras yang sebelum ini mereka terima daripada pemimpin-pemimpin islam lain di seluruh dunia.

“Namun saya yakin, setinggi mana pun pujian akhbar Israel terhadap PM kita, ia tidak akan mengubah sebarang pendirian Malaysia dalam isu konflik Palestin dan Israel,” ujarnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment