Thursday, October 01, 2015
Kenyataan Rakyat Malaysia Guna Pakej Internet Perlahan Adalah Fakta – Salleh
KUCHING : Kenyataan mengenai sebanyak 71 peratus rakyat
Malaysia yang memilih menggunakan pakej Internet lebih murah dengan
kelajuan lebih rendah adalah berdasarkan fakta, kata Menteri Komunikasi
dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata, angka tersebut bukan rekaannya tetapi ia sebenarnya
adalah data daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM).
“Berdasarkan statistik mereka, 71 peratus lebih berminat untuk
membeli pakej yang berpatutan walaupun tahap kelajuannya adalah rendah.
“Saya beritahu fakta dan fakta itu daripada SKMM. Saya tidak mereka
fakta, saya hanya menyatakannya,” katanya kepada pemberita selepas
mengadakan mesyuarat dengan Jabatan Penerangan negeri di sini, Khamis.
Salleh
sebelum ini dikritik kerana membuat kenyataan di blognya mengenai rakyat
Malaysia lebih gemar menggunakan Internet pada tahap kelajuan lebih
rendah antara 384 Kbps ke 1 Mbps walaupun terdapat kelajuan lebih
tinggi.
Antara yang mengkritik beliau ialah penasihat DAP, Lim Kit Siang yang
mengatakan bahawa isu sebenar ialah Internet berkelajuan tinggi di
Malaysia menawarkan kadar caj terlalu tinggi dan tugas menteri berkenaan
sepatutnya menjadikan ia berpatutan.
Salleh yang mempertahankan kenyataan di blognya berkata, beliau
bersetuju dengan Lim yang mahukan hubungan Internet berkelajuan tinggi
pada kadar berpatutan.
Beliau turut mengalu-alukan idea mengenai bagaimana untuk mencapai
hasrat berkenaan tetapi katanya, sebarang kritikan yang diberikan perlu
membina dan berfakta, bukan hanya berdasarkan sebahagian kecil
kenyataannya itu.
“Saya tiada masalah sekiranya anda memberi pandangan dan kritikan
yang membina tetapi mengatakan saya salah bila saya memberitahu fakta,
saya tidak tahu.
“Mereka mahukan kelajuan tinggi, saya juga mahukan kelajuan tinggi
dan mencari jalan bagaimana untuk menjadikannya lebih murah. Tetapi kita
tidak melaksanakannya serta-merta di Malaysia kerana keutamaan adalah
kelajuan, kemampuan dan liputan,” tambahnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment