Thursday, October 01, 2015
Malaysia Akan Terima 3,000 Pelarian Syria – Najib
PBB, New York : Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000
pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu
meringankan krisis pelarian, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata negara-negara Islam sebahagiannya
bertanggungjawab memastikan kesejahteraan orang Syria yang terpinggir
melarikan diri dari negara mereka dengan jumlah yang besar sehingga
mengakibatkan tekanan ekonomi dan sosial di Eropah.
“Sebab itu Malaysia selama ini telah mengambil banyak orang yang
melarikan diri daripada peperangan, kebuluran dan penganiayaan. Kini
kami mempunyai ratusan ribu migran dan kami mengambil lebih ramai awal
tahun ini apabila terdapat krisis kemanusiaan di Laut Andaman,” katanya
pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di
sini, Khamis.
Pengumuman oleh Najib berhubung kesediaan untuk menerima pelarian Syria itu disambut tepukan gemuruh audien.
Adalah dilaporkan sejak empat tahun lepas, kira-kira empat juta
pelarian Syira telah melarikan diri ke negara-negara jiran dan
bergelumang dalam kancah kemiskinan.
Najib berkata penyelesaian antarabangsa yang baharu diperlukan bagi menangani krisis migrasi.
Katanya “kita mesti menghormati nilai kemanusiaan bersama” dan isu
berjuta-juta rakyat Syria melarikan diri dari negara mereka harus
menjadi kebimbangan dan perhatian dunia.
“Hanya apabila kita melangkaui batas bangsa dan anutan, hanya apabila
kita melihat gambar-gambar migran yang terdesak, mangsa ekstremis dan
mereka yang hidup diselubungi kebuluran dan kemiskinan – dan melihat
mereka bukan sebagai orang asing tetapi sebagai saudara kita.
“Apabila kita melihat gambar memilukan jasad Aylan Kurdi berusia tiga
tahun yang terdampar di pantai dan merasakan seolah-olah anak kita
sendiri dalam wajah kanak-kanak lelaki tidak berdosa itu maka kita akan
bertindak untuk berbuat lebih baik.
“Orang di seluruh dunia merayu bantuan kita. Kita tidak boleh – tidak akan membiarkannya sahaja,” kata Najib.
Perdana Menteri turut mengulangi kekecewaan Malaysia terhadap
kegagalan PBB menerima pakai resolusi menubuhkan sebuah tribunal
antarabangsa untuk menyiasat insiden menembak jatuh pesawat Malaysia
Airlines MH17 kerana kuasa veto dikenakan.
“Kami akan terus menuntut keadilan menerusi opsyen undang-undang lain
kerana kami bertanggungjawab terhadap keluarga mangsa yang terkorban
dalam kejadian jenayah yang kejam ini,” katanya.
Pada 29 Julai lepas, Rusia menggunakan kuasa veto untuk menghalang
cadangan lima negara yang dirintis Malaysia untuk menubuhkan tribunal
jenayah antarabangsa sementara bagi membicarakan mereka yang
bertanggungjawab menembak jatuh penerbangan MH17 tahun lepas.
Resolusi tersebut mendapat 11 undi menyokong daripada Chad, Chile,
Perancis, Jordan, Lithuania, Nigeria, Sepanyol, United Kingdom dan
Amerika Syarikat.
China, Venezuela dan Angola, bagaimanapun, berkecuali daripada mengundi.
Kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal penerbangan MH17 dari
Amsterdam ke Kuala Lumpur terkorban apabila pesawat itu ditembak jatuh
di Donetsk di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment