Thursday, October 01, 2015
Najib Kutuk Kezaliman Israel Dan Tuntut Keadilan Untuk Penduduk Palestin
PBB, NEW YORK : Datuk Seri Najib Tun Razak mengutuk kezaliman
Tel Aviv di wilayah yang diduduki oleh mereka dan menggesa supaya
penyelesaian muktamad dicapai bagi mengakhiri ketidakadilan terhadap
rakyat Palestin.
Perdana Menteri turut menyentuh ancaman kumpulan militan yang
dikenali IS, yang tidak tahu ajaran Islam yang sebenar serta pengalaman
sendiri Malaysia dalam membendung ekstremisme militan.
Berucap pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu
(PBB) di sini, Khamis, beliau berkata keberanian diperlukan untuk
menangani secara berkekalan ketidakadilan terhadap rakyat Palestin yang
menderita sejak 1948.
“Berdekad-dekad bebas tanpa hukuman dan penyahmanusiaan secara
sistematik terhadap penduduk Palestin telah mendorong kepada peningkatan
keganasan, memperluas penempatan haram dan peningkatan pencabulan hak
asasi.
“Kekecewaan dan kemarahan dirasai rakyat Palestin turut dirasai umat
Islam di seluruh dunia. Jika dunia terus tidak ambil peduli terhadap
penderitaan rakyat Palestin, kita berisiko berdepan dengan satu lagi
malapetaka di wilayah diduduki rakyat Palestin.
“Kita gagal mendukung hak untuk menentukan nasib sendiri, yang
menjadi asas Pertubuhan Bangsa Bersatu semasa diwujudkan 70 tahun
lepas,” kata Najib.
Dalam hal ini, memandangkan tindakan Rosh Hashanah mencerobohi Masjid
Al-Aqsa di Baitulmaqdis dan serangan terhadap jemaah masjid itu tiga
minggu lepas, beliau menggesa kerajaan Israel agar mendukung prinsip
tertinggi Judaisme dan mesej penting dalam kitab Taurat.
Najib berkata Israel menggunakan kuasanya secara paksa untuk
menguasai tempat ketiga paling suci dalam Islam – sebagai bantahan
terhadap bidang kuasa Raja Abdullah dari Jordan, sebagai penjaga sah.
“Oleh itu menjadi kewajipan Israel untuk memudahkan umat Islam dari
seluruh dunia menziarahi tempat tersebut. Ini merupakan impian dan doa
setiap umat Islam untuk mengunjunginya sekurang-kurangnya sekali dalam
hayat mereka,” katanya.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pertempuran antara jemaah
Palestin dan tentera Israel dilaporkan berlaku setiap hari di Majid
Al-Aqsa.
Rabu lepas, untuk pertama kali dalam sejarah, bendera Palestin
dinaikkan diibu pejabat PBB selepas pihak berkuasa Palestin memperoleh
status pemerhati bukan anggota badan dunia itu pada 2012.
Mengenai IS, Najib berkata Malaysia menganggap masalah militan dengan
cukup serius dengan kedua-dua pengikut yang berhasrat menggunakan Kuala
Lumpur sebagai tempat transit dan mereka yang mahu menyemai benih
keganasan dan kemusnahan di tanah air.
“Banyak daripada usaha ini tidak boleh didedahkan atas faktor
keselamatan. Ini mungkin mendorong sesetengah pihak fikir bahawa oleh
kerana Malaysia tidak menanggung akibat teruk daripada kejayaan serangan
pengganas, kita tidak berdepan cabaran keselamatan negara.
“Ia tidak begitu. Usaha tanpa lelah dan kesiapsiagaan pasukan
keselamatan, kami berjaya menyekat banyak bakal pengikut IS menggunakan
Kuala Lumpur sebagai pusat transit.
“Ini disebabkan usaha kami tidak sia-sia, tidak seperti kemusnahan
yang berlaku di Syria dan Iraq.
Kami telah mengenal pasti 39 rakyat
Malaysia yang telah pergi untuk menyertai IS dan kami telah menahan
lebih 100 warganegara kami yang disyaki ada kaitan dengan IS,” kata
perdana menteri.
“Kita perlu berusaha lebih keras secara bersama untuk memerangi
ancaman ini. Angkatan tentera dan perkhidmatan risikan perlu berkongsi
maklumat dan negara-negara perlu meningkat kerjasama dengan berani
melakukan tangkapan lebih awal jika perlu,” katanya.
Najib berkata dunia mesti memerangi IS dan ideologi sesat dan dari
segi teologi tidak masuk akal serta mempersendakan Islam yang “menuntut
kita supaya lebih berpengetahuan, penyayang dan merendah diri.”
“Ia lebih penting daripada sebelumnya supaya kita menyebarkan
kesedaran Islam yang tulen. Islam tanpa ragu-ragu melarang pembunuhan
orang awam semasa perang. Ia jelas melindungi golongan minoriti dan
menghormati mereka daripada agama lain. Ia menggesa umatnya mengejar
ilmu dan menekankan kepada keadilan dan belas kasihan,” katanya.
Beliau berkata tidak sepatutnya ada persengketaan sesama Islam dan
tidak antara puak Syiah dan Sunni yang mungkin menganuti fahaman berbeza
tetapi mencari hala tuju yang sama.
“Kerajaan Malaysia telah membantu membangunkan sebuah badan biasiswa
yang penting. Sebuah kumpulan cendekiawan Sunni dan Syiah yang mewakili
pelbagai sektor komuniti Islam global telah berhimpun di Kuala Lumpur,”
katanya.
Beliau berkata misi kumpulan tersebut adalah untuk mendefinisikan
Negara Islam berdasarkan kesinambungan agama Islam sejak 14 abad lepas
dan ia tiada persamaan dengan entiti di Syria dan Iraq yang
menyalahgunakan nama tersebut.
“Para cendekiawan sebulat suara menekankan bahawa Negara Islam perlu
memberikan keadilan dalam semua bentuk – politik, ekonomi dan
perundangan terhadap warganegaranya. Ia perlu berasaskan kepada objektif
Syariah atau Maqasid Syariah iaitu untuk melindungi dan meningkatkan
kehidupan, agama, intelek, harta benda, keluarga dan maruah,” katanya.
Najib berkata kumpulan yang dikenali IS tidak tahu ajaran Islam yang
sebenar, sifat penyayang atau tanggungjawab asas untuk menjaga dan
ambil tahu tentang sesama manusia.
“Mereka melanggar perintah Tuhan. Mereka mencemarkan nama agama kita
dengan mengakui diri mereka sebagai kalifah – yang tiada orang Islam
sebenar akan membuat pengakuan itu.
“Inilah mesej yang kita mesti sebarkan kepada umat Islam dan bukan
Islam. Saya menggesa ummah untuk bangkit sebagai satu suara, dan biar
dunia bergema apabila kita berkata kepada IS: “Anda tidak mewakili
kami,” ” katanya sambil disambut tepukan gemuruh audien.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment