Sunday, October 18, 2015
LLM Jelaskan Pasal Dakwaan Kerajaan Tak Kota Janji Manifesto PRU Tol 18 Lebuhraya Naik
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjelaskan tidak timbul isu bahawa
kerajaan tidak mengotakan janjinya menerusi Manifesto Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13) lepas dalam penyelarasan tol melibatkan 18 lebuhraya
seperti didakwa beberapa pihak.
Antara kandungan Manifesto bertajuk 'Menepati Janji Membawa Harapan'
yang dilancar Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri
Najib Tun Razak pada April 2013 itu menyebut pengurangan bayaran tol
antara bandar secara berperingkat.
Sebaliknya kesemua 18 lebuh raya yang terlibat dalam penyelarasan kadar
tol sejak Khamis lepas tidak dikategori dalam Lebuh Raya Antara Bandar
(Inter Urban Highway).
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu kenyataan Sabtu menjelaskan,
lebuh raya antara bandar adalah lebuh raya yang menghubungkan satu ibu
negeri dengan ibu negeri yang lain dan membentuk jaringan utama lebuh
raya kebangsaan memandangkan ia turut menghubungkan kawasan luar bandar
(rural area) dengan bandar.
"Dari segi geometriknya, lebuh raya antara bandar mempunyai akses
terkawal di mana pengguna hanya boleh memasuki lebuh raya melalui
persimpangan bertingkat yang ditentukan.
"Lebuh raya yang dikategorikan sebagai lebuh raya antara bandar adalah
Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur," menurut kenyataan
itu.
LLM dalam pada itu juga menjelaskan bahawa Lebuhraya KL-Karak (KLK)
bukan lebuh raya antara bandar kerana ia hanya menghubungkan antara
Gombak dan Bentong, Pahang.
Selain itu, KLK dibina dengan ciri geometrik intra urban highway iaitu
mempunyai akses separa terkawal (partial access controlled) di mana
terdapat simpang searas (atgrade) di sekitar kawasan perbandaran.
KLK hanyalah lebuh raya penghubung antara KL dan Kuantan, tambah kenyataan itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment