Thursday, October 08, 2015
Malaysia Hantar Aset TUDM Bantu Atasi Kebakaran Hutan Di Indonesia
KUALA LUMPUR : Kementerian Pertahanan akan mengatur gerak aset
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Indonesia seawal hari ini untuk
membantu memadamkan kebakaran hutan di negara itu bagi menangani
jerebu.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata
bantuan itu yang diselaraskan beliau dengan kerjasama Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan digerakkan ke
kawasan-kawasan perhutanan di sekitar Palembang dan Selatan Sumatera.
Beliau berkata TUDM akan menggerakkan aset Bombardier CL415MP yang boleh bergerak di darat dan air untuk misi ke Indonesia.
“Pasukan Malaysia bersama pesawat Bombardier siap sedia diterbangkan
ke Indonesia petang ini, bergantung kepada koordinasi bersama
Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Koordinasi
Transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata pesawat Bombardier berkeupayaan menjatuhkan
6,137 liter air dalam tempoh 12 saat ketika terbang dengan kelajuan
130km per jam di kawasan sasaran yang ditentukan pihak berkuasa
Indonesia.
Katanya buat masa ini, fokus bantuan yang dipohon Indonesia adalah
melibatkan sebuah pesawat yang berkeupayaan memadamkan kebakaran di
kawasan yang luas.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO
turut menyelar pihak tertentu yang cuba memutarbelitkan kenyataan Majlis
Raja-Raja Melayu yang mahukan siasatan berkaitan 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) dipercepatkan.
Katanya itu merupakan saranan daripada Majlis Raja-Raja Melayu kepada
kerajaan yang selama ini menekankan siasatan itu sama ada dalam
peringkat kepimpinan tertinggi dan kabinet.
“Itu (siasatan 1MDB) bukan perkara baharu. Memang kami melakukan
siasatan itu dari peringkat awal lagi dan mana-mana pihak yang didapati
salah laku tidak terkecuali daripada dibawa ke muka pengadilan,”
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment