Thursday, October 08, 2015

Peniaga Diminta Pegang Kenyataan Minyak Bukan Penentu Harga Barang – Hamzah

PUTRAJAYA : Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin hari ini menuntut peniaga berpegang kepada kenyataan mereka sebelum ini bahawa harga minyak bukan faktor penentu harga barang dengan tidak menggunakan alasan kenaikan bahan bakar itu untuk menaikkan harga barang.
http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.289406.1402557025!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_624/image.jpg
Beliau berkata segelintir peniaga sering menjadikan kenaikan harga minyak sebagai alasan untuk menaikkan harga barang tetapi enggan menurunkan harga barang apabila harga bahan bakar itu turun.

“Pada bulan September harga minyak turun (lagi) iaitu turun untuk dua bulan berturut-turut, jadi saya minta peniaga supaya turunkan harga barang. 

“Jawapan mereka berikan kepada saya adalah minyak bukan faktor utama tentukan harga barang. 

Kita simpan kenyataan mereka ini,” katanya pada siding media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian dan menyampaikan watikah kepada 378 pegawai penguatkuasa di sini.

Harga petrol RON 95, RON 97 dan diesel bagi Okt 2015 masing-masing naik 10 sen berbanding Sept, menjadikan harga semasa RON 95 di pam adalah RM2.05 seliter, RON 97 (RM2.45) dan diesel (RM1.90).

Hamzah berkata operasi dan penguatkuasaan di seluruh negara akan diperhebatkan sebagai usaha untuk memastikan tiada peniaga yang menaikkan harga barang berikutan kenaikan harga minyak bagi bulan Oktober.

“Mereka peniaga nak naikkan harga barang sebab alasannya harga minyak naik, tapi bila suruh turunkan kata bukan sebab harga minyak. Ini tak betul,” katanya.

Menyentuh mengenai pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Okt ini, Hamzah berkata banyak pihak telah membuat andaian bahawa Indeks Harga Pengguna (CPI) akan naik.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan membuat analisis terperinci selepas pembentangan itu untuk memastikan CPI dalam negara kekal stabil dan mengatur langkah wajar untuk merealisasikannya.

“Kalau ikut IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) mereka kata CPI mestilah pada kadar tiga peratus, jadi akan fikirkan macam mana nak capai CPI itu sebab tak mahu semuanya buat secara terburu-buru,” katanya.

Hamzah dalam ucapannya sebelum itu berkata dakwaan segelintir pihak bahawa Malaysia akan dijajah oleh kuasa besar dunia sekiranya menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah tidak tepat. 

“Apapun kerajaan buat adalah demi kepentingan kita bersama, kita tak mungkin menjual negara, tapi kita nak mengayakan lagi negara,” katanya. 

Pada Rabu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata rundingan bagi Pakatan Trans-Pasifik (TPP) telah dimuktamadkan, namun Malaysia belum menandatangani TPPA.

Usaha rundingan TPPA itu yang pertama kalinya dilancarkan pada 2005, melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment