Sunday, October 18, 2015
Malaysia Sekali Lagi Kutuk Cubaan Israel Ubah Ciri-Ciri Bandar Suci Baitulmuqaddis
KUALA LUMPUR : Malaysia sekali lagi mengutuk tindakan Israel
mencetuskan provokasi, keganasan dan semua percubaan untuk mengubah
ciri-ciri dan status bandar suci Baitulmuqaddis.
Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk
Ramlan Ibrahim berkata segala percubaan jahat seperti itu secara jelas
mencabul pelbagai resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB.
“Sekali
lagi, majlis itu telah diberi amaran mengenai situasi ibarat sebuah bom
jangka yang berdetik di wilayah diduduki Palestin ketika rakyatnya
semakin terdesak akibat ditindas, dihina setiap hari di bawah pendudukan
paling lama dalam sejarah moden.
“Namun sekali lagi, majlis ini tidak berbuat apa-apa,” katanya ketika
berucap pada Mesyuarat Tergempar Majlis Keselamatan PBB Mengenai
Situasi Timur Tengah dan Persoalan Palestin di New York, semalam.
Ramlan berkata Perhimpunan Agung, Jawatankuasa Khas Bagi Menyiasat
Amalan Israel Menjejas Hak Asasi Penduduk Palestin dan Jawatankuasa
Mengenai Pelaksanaan Hak Mutlak Rakyat Palestin bersungguh-sungguh
melaporkan pelbagai kekejaman oleh kuasa penjajah itu tahun demi tahun
sejak beberapa dekad lepas.
Namun, katanya usaha itu tidak menghasilkan sebarang langkah berkesan untuk menangani bentuk ketidakadilan yang serius.
Oleh itu, Ramlan berkata Malaysia menggesa majlis itu supaya segera
bertindak memandangkan situasi semakin meruncing bagi menangani punca
konflik dan akhirnya mencari titik noktah kepada pendudukan paling lama
dalam sejarah moden.
“Jika kita terus ‘buta’ kepada msalah ini, maka tidak ada keraguan
bahawa kita akan membayar harga yang lebih tinggi pada masa depan,
sekali gus menjejaskan kepentingan jangka panjang Palestin, Israel dan
dunia,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment