Thursday, October 15, 2015
Manfaat Ekonomi Digital Kini Dirasai Rakyat, Organisasi – Najib
PUTRAJAYA : Manfaat inisiatif ekonomi digital Malaysia telah
mula diraih rakyat dan organisasi, dan antara kumpulan terbesar yang
menikmatinya ialah rakyat Malaysia yang berada dalam kumpulan isi rumah
berpendapatan 40 peratus terendah, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam ucapan perasmian mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia
ke-27, di sini hari ini, Perdana Mneteri berkata mereka mendapat manfaat
melalui inisiatif seperti eRezeki yang membolehkan mereka meraih
pendapatan tambahan melalui kaedah digital.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata Perbadanan Pembangunan
Multimedia (MDeC) akan mengambil konsep pendapatan digital untuk rakyat
ke tahap yang lebih tinggi dengan pengenalan eUsahawan.
Semasa berkongsi cerita kejayaan inisiatif eRezeki, Najib memberi
contoh mengenai seorang lelaki bekerja sendiri di Kuala Lumpur, Yazid
Mohd Zaiki, yang dalam tempoh dua bulan memperoleh hampir RM2,000 dengan
melakukan tugas digital mudah manakala setiausaha eksekutif dari
Sawarak, Bong NN, meraih lebih RM600 dengan menjalankan tugas-tugas
berkaitan foto.
“Selain pencapaian dalam ekonomi modal, manfaat inisiatif ekonomi
digital negara telah mula sampai kepada rakyat dan organisasi,” katanya.
Seiring dengan usaha untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup
rakyat, ialah usaha bersepadu untuk memperkasa perusahaan kecil dan
sederhana (PKS) melalui cara digital, khususnya e-dagang, katanya.
Beliau berkata usaha MDeC bagi acara penting e-dagang, #MYCyberSALE,
yang serupa dengan ‘Cyber Monday’ di Amerika Syarikat, berakhir buat
kali kedua dengan rekod jualan sebanyak RM115 juta, hampir dua kali
ganda angka tahun lepas.
Selain itu, Najib berkata Malaysia telah meletakkan asas untuk
mengambil kesempatan daripada pelbagai peluang yang ditawarkan oleh
teknologi terkini seperti ‘Big Data Analytics’ (BDA) dan ‘Internet of
Things’ (IoT), yang telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia ke-11.
“Bagi Malaysia untuk membina ekonomi digital yang cergas, adalah
penting untuk mempunyai ekosistem membolehkan yang kukuh, terdiri
daripada bakat teknologi maklumat dan komunikasi bertaraf dunia untuk
memenuhi permintaan teknologi yang semakin meningkat dan infrastruktur
digital bagi penyambungan yang lancar,” kata beliau.
Najib berkata ekonomi digital di negara ini sedang menuju ke arah
yang betul, mencapai 17 peratus sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara
Kasar pada 2014, iaitu sasaran awalnya yang ditetapkan untuk tahun 2020.
Beliau berkata MSC Malaysia, yang merupakan asas kepada ekonomi
digital negara, telah menyumbang lebih RM295 bilion dalam pendapatan
kepada ekonomi Malaysia, RM283 bilion nilai pelaburan dan lebih 147,000
pekerjaan sejak ditubuhkan pada 1996.
MSC Malaysia adalah inisiatif ICT negara yang direka untuk menarik
syarikat-syarikat teknologi bertaraf dunia di samping membentuk industri
ICT tempatan.
“MSC Malaysia juga terus menarik pelaburan dari syarikat-syarikat
bertaraf dunia dan canggih dalam pelbagai industri,” kata beliau.
Najib berkata beliau gembira melihat kemajuan yang dicapai MDeC,
terutamanya dalam memperkukuh agenda kebangsaan Digital Malaysia.
“Saya yakin MDeC akan terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin ICT dan pemacu ekonomi digital,” kata perdana menteri.
“Hari ini, peluang-peluang baru kerap diperoleh daripada inovasi dan penggunaan teknologi digital.
“Sesungguhnya, dunia digital terus meresapi setiap aspek kehidupan
kita di pelbagai peringkat usia, yang membawa kepada persekitaran yang
baru kesalinghubungan,” kata beliau.
Mesyuarat ini dihadiri antara lain Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr
Ali Hamsa, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said
Keruak dan Ketua Pegawai Eksekutif MDeC Datuk Yasmin Mahmood.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment