Wednesday, October 21, 2015
Mari Baca Dulu.... Kerajaan Halang Kenaikan Lebih Tinggi Tol Di Tiga Lebuh Raya
PUTRAJAYA : Kerajaan telah campur tangan bagi menghalang cadangan awal kadar kenaikan tol di tiga lebuh raya.
Mendedahkan perkara itu hari ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri
Fadillah Yusof, berkata syarikat konsesi bagi tiga lebuh raya itu
mencadangkan untuk menaikkan kadar tol sebanyak RM2 tetapi kerajaan
memutuskan pada kadar RM1 sahaja.
Beliau berkata, syarikat konsesi berhak menaikkan kadar tol seperti
ditetapkan dalam kontrak tetapi tidak menaikkan kadarnya sejak 2008.
“Kami (kerajaan) telah menangguhkannya … sebenarnya ia sepatutnya
dinaikkan pada 2014 tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
kata tidak boleh dan benarkan kami jalankan kajian mendalam dan
mengadakan rundingan lanjutan dengan syarikat konsesi.
“Selepas mengadakan rundingan itu, kami akhirnya perlu menaikkannya
walaupun kadar kenaikan itu dikatakan tinggi,” katanya ketika diminta
mengulas kemarahan orang ramai terhadap kenaikan kadar tol di 18 lebuh
raya di Lembah Klang.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Antarabangsa
Ukur Bahan 2015 di sini hari ini, Fadillah berkata kerajaan dijangka
membayar RM1.6 bilion sebagai pampasan kepada syarikat konsesi terbabit
sekiranya kadar tol tidak dinaikkan menjelang tahun depan.
Berdasarkan perjanjian dengan syarikat-syarikat konsesi, beliau berkata
kerajaan pada tahun ini perlu membayar RM580 juta sebagai pampasan.
“Walaupun kenaikan tol dilaksanakan, kerajaan masih membayar pampasan
berjumlah RM510 juta dalam tempoh Januari hingga (15) Oktober berikutan
penangguhan kenaikan tol yang sepatutnya dilaksanakan pada Januari tahun
ini,” katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata pembayaran pampasan yang tinggi kepada
syarikat konsesi seharusnya digunakan untuk aktiviti ekonomi dan
pembangunan yang akan memanfaatkan semua lapisan masyarakat.
“Kerajaan menggunakan asas pengguna bayar iaitu mereka yang menggunakan
lebuh raya akan bayar tol … kena berlaku adil kepada mereka yang tidak
menggunakan lebuh raya seperti mereka di Sabah, Sarawak dan Kelantan.
Maka, duit ini harus disalurkan untuk aktiviti ekonomi dan menjana
pembangunan,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment