Saturday, October 17, 2015

Anggota Parlimen Rompin Dipilih Sebagai Pengerusi PAC

KUALA LUMPUR : Anggota Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baharu bagi menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.
http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/10/najib-razakHasan-Arifin.jpg
Perkara itu dinyatakan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Ketiga Belas 2015 yang dimuat naik dalam Portal Rasmi Parlimen Malaysia, malam ini.

Ia merupakan satu usul yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pada persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin ini.

Usul itu memerlukan sokongan majoriti anggota Parlimen sebelum Hasan dilantik mengetuai jawatankuasa Parlimen itu.

Hasan sebelum ini memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin pada 5 Mei lepas dengan menewaskan calon PAS, Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi.

Nur Jazlan, yang juga Ahli Parlimen Pulai, pula dilantik ke jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam rombakan Kabinet yang dilakukan Najib pada 28 Julai lepas.

Dalam pada itu, aturan urusan mesyuarat itu turut menyatakan bahawa Perdana Menteri akan mencadangkan satu lagi usul iaitu perlantikan tiga anggota Parlimen bagi menggantikan anggota sebelum ini dalam Jawatankuasa Pemilih.

Mereka adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,  Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mereka akan menggantikan bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perlantikan itu mengikut Peraturan Mesyuarat 76 untuk tempoh Parlimen Ke-13.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment