Monday, October 19, 2015
PAS, Amanah Bergeser Soal Siapa Lebih Layak Jadi Parti Islam di Malaysia
PAS dan kumpulan serpihan yang menubuhkan Parti
Amanah Negara (Amanah) terus bergeser, kali ini bertentangan pendapat
mengenai parti mana lebih layak jadi parti Islam di negara ini.
Ini gara-gara Pesiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa,
pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia itu menolak kewujudan 2 parti
berorientasikan Islam di Malaysia.
Katanya, penubuhan Amanah adalah haram kerana ia ditubuhkan selepas adanya parti Islam lain iaitu PAS.
Ahli Parlimen Marang itu memetik pandangan ulama besar Prof Dr Yusuf Al-Qaradawi.
“Yusuf menyatakan haram menubuhkan parti baharu kerana PAS sudah ada.
Pendapatnya ini turut ditulis setiausahanya,” kata Hadi ketika
memberikan ucapan di Tumpat, Kelantan pada Ahad malam.
Hadi yang juga naib pengerusi kesatuan itu berkata, reaksi itu dibuat
tokoh ulama terkenal tersebut ketika menerima kunjungan rombongan dari
Malaysia baru-baru ini.
Bagaimanapun kenyataan Hadi yang sedang disebarkan penyokongnya
melalui media sosial itu dinafikan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin
Ayub dalam satu kenyataannya semalam.
Malaysian Insider memetik Salahuddin sebagai berkata, Naib Presiden
Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof baru saja berjumpa Yusuf di Doha pada 17
Oktober, ketika dalam perjalanan pulang dari Istanbul, dan tidak
berbangkit langsung perkara itu.
“Dalam pertemuan itu tidak disebut langsung tentang haramnya wujud sebuah parti Islam lain selain PAS.
“Bahkan kami berbincang perkara prinsip tentang kejelasan fikrah
Islam, kerana bimbang terjerumus kepada pemikiran awal Isis (Negara
Islam Iraq dan Syria) atau seumpamanya.
“Lalu Yusuf menyokong usaha untuk membetulkan salah faham ini di
kalangan pengamal politik Islam,” kata Salahuddin yang baru pulang
daripada misi itu, yang bertujuan memperkenalkan Amanah di peringkat
antarabangsa, khususnya kepada gerakan Islam.
Misi itu berlangsung dari 13 hingga 18 Oktober dengan delegasi Amanah
turut disertai Timbalan Penasihat Umum Abd Ghani Shamsuddin, yang juga
ahli pemegang amanah kesatuan ulama dunia itu, dan Bendahari Amanah
Asmuni Awi.
Dalam misi itu, mereka turut bertemu dengan setiausaha agung kesatuan
ulama itu, Prof Dr Ali Alqaradaghi di Doha pada 13 Oktober.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment