Saturday, October 17, 2015

PKR Main Kayu Tiga, Lapor Akhbar Cina

KUALA LUMPUR : Akhbar Sinchew Daily News bertarikh 13 Oktober 2015 menyiarkan artikel mengenai pengumuman kepemimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung pembentukan Pakatan Harapan melibatkan Pas menimbulkan per­telagahan dalam kalangan ahli.

Artikel bertajuk ‘PKR main kayu tiga’ yang ditulis oleh Lim Sue Gan disiarkan dalam ruangan Yan Lun halaman 25 akhbar berkenaan. Pre­siden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dikatakan tergesa-gesa membuat keputusan itu dalam satu mesyuarat khas tergempar majlis tertinggi parti Ahad lalu, sedang­kan perkara itu (cadangan melibatkan penyertaan Pas) sepatutnya hanya di peringkat perbincangan awal.

Terdahulu mesyuarat khas dikatakan bagi membincangkan petisyen 25 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu yang mahu penubuhan Pakatan Harapan dibincangkan semula.

Kontroversi tercetus apabila kumpulan berkenaan mahukan mesyuarat MPP Ahad lalu meluluskan cadangan agar dibentuk satu pakatan lain dengan Pas di sam­ping mengekalkan Pakatan Harapan iaitu gabungan baharu politik melibatkan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Umum sedia maklum, Pas melalui presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan tidak akan bersama gabungan baharu itu kerana adanya DAP dan ‘pengkhianat’ iaitu Amanah.

Kumpulan 25 MPP menganggap keputusan membawa masuk Pas ke dalam PKR sebagai satu pandangan singkat dan pentingkan diri, tetapi bagi kepemimpinan tertinggi PKR pula, tindakan sedemikian bertujuan mahu memperluaskan kuasa Pakatan Harapan.

PKR dikatakan takut kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14, justeru enggan melepaskan Pas. Perkara itu turut dinyatakan Naib Presiden PKR, Tian Chua yang membayangkan PKR akan tewas teruk tanpa sokongan Pas di kawasan peti undi PKR yang majoritinya adalah orang Melayu.

Kepemimpinan tertinggi PKR dilihat lupa hakikat bahawa Pas pernah mengingkari agenda Pakatan Rakyat, menikam PKR dari belakang selain Pas berdegil mahu melaksanakan hukum hudud, namun ia dilakukan demi perjuangan utama pakatan untuk membentuk kebebasan berdemokrasi.

Penulis menyifatkan PKR hanya bersikap mementingkan diri apabila mahu membawa masuk Pas semata-mata demi memperkukuhkan politik PKR, sedangkan pada akhirnya tindakan itu akan memusnahkan gabungan parti pembangkang pada masa depan.

Ramai kalangan pemimpin PKR tidak nampak hala tuju dan perkembangan politik semasa yang mana ia sebenarnya menyediakan satu peluang amat besar kepada pakatan pembangkang, namun disebabkan tindakan tidak kemas itu mereka akan menerima padah kekalahan.

Beberapa isu yang mengaitkan UMNO telah menyebabkan ramai orang Melayu sudah mula hilang kepercayaan, sekali gus menjejaskan tiket deposit UMNO. PKR sepatutnya bijak mengambil kesempatan daripada kemusnahan yang dicipta UMNO dan Barisan Nasional (BN).

PKR diminta tidak bersikap jumud dengan hanya bergantung kepada Pas dan menafikan kemampuan Amanah untuk menarik sokongan undi tiket daripada orang Melayu. Mutakhir, Amanah dilihat mulai kuat dan menyerlah dan mempunyai potensi pengaruh di Kelantan apabila berjaya menarik kira-kira 11,000 ahli dari negeri itu.

Dalam keadaan ekonomi yang merosot ini apa yang rakyat mahukan adalah pelaksanaan kerajaan yang lebih bagus, bukan pelaksana­an polisi radikal berkaitan perkaum­an dan agama. Jika PKR bersama Pas, ia akan dianggap bersekongkol dengan hukum hudud, dan pas­tinya ramai yang marah.

DAP dan Amanah sebaliknya sudah menghidu peluang itu, malah kini sumber dan tenaga mereka ditum­pukan di Johor. PKR pula bertindak sebaliknya. Apa yang dilakukan PKR saat ini tidak lebih untuk kepentingan politik sendiri yang mana akan merugikan parti itu sendiri. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment