Thursday, October 15, 2015
Ringgit Akan Kembali Ke Paras Sepatutnya - Wahid
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar yakin
usaha kerajaan untuk memantapkan ekonomi dan kewangan negara akan
mengembalikan ringgit ke paras yang sepatutnya.
Bagaimanapun, katanya beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi
mengenai paras mata wang negara patut berada dan bila ia sepatutnya
berlaku.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam Rancangan Soal Jawab TV3 berkaitan topik 'Ekonomi Negara' Rabu.
Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai unjuran Rabobank bahawa
ringgit akan diniagakan antara RM4.45 dan RM4.50 berbanding dolar
Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun.
Unjuran itu dengan jangkaan sekiranya China, yang juga ekonomi kedua
terbesar dunia mengulangi langkah menurunkan nilai mata wangnya.
"Jangkaan itu mengikut pandangan masing-masing berdasarkan andaian AS
akan menaikkan kadar faedahnya dan China menurunkan nilai mata wangnya.
Kita akan terus fokus kepada asas ekonomi dan ringgit akan pulih dan
kembali ke paras sepatutnya," katanya.
Ringgit susut 0.4 peratus, disebut harga pada 4.1770/1860 berbanding
dolar AS pada Selasa, berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia.
Sementara itu, Wahid berkata isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan diselesaikan sebelum akhir tahun.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah memberi kenyataan
bahawa isu 1MDB akan diselesaikan dalam masa enam bulan bermakna sebelum
hujung tahun ini," katanya.
Ia diberi penekanan lagi apabila kerajaan mengambil langkah proaktif
antaranya menjual aset 1MDB dan menggunakan hasilnya untuk membayar dan
mengurangkan hutang.
"Proses ini akan dijalankan secara mesra pasaran dan telus," katanya.
Baru-baru ini, 1MDB mengumumkan bahawa paras hutangnya akan dikurangkan
kepada kira-kira RM16 bilion daripada paras hutang syarikat.
Ini menunjukkan kejayaan pelan rasionalisasi 1MDB, yang turut
mencerminkan minat pelabur antarabangsa dan domestik yang kukuh dalam
Edra Energy dan Bandar Malaysia.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment