Thursday, October 15, 2015
Sivarasa Akhirnya Mengaku Ahli Lembaga Pengarah Lebuhraya Tol SPRINT
Selepas didesak ramai pihak, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR),
R.Sivarasa akhirnya mengaku beliau salah seorang Ahli Lembaga Pengarah
syarikat konsesi lebuh raya SPRINT Sdn. Bhd. (SPRINT) yang turut
mengumumkan kenaikan kadar tol baru-baru ini.
Sivarasa hanya selepas beberapa hari kenaikan kadar tol itu diumumkan
mengakui beliau dilantik ke jawatan itu pada Januari lalu selaku wakil
Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) yang merupakan pemilik 20 peratus
saham SPRINT.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Subang bagaimanapun memberi alasan
kononnya tidak pernah dirujuk oleh pihak pengurusan syarikat konsesi
lebuh raya itu untuk menaikkan kadar tol.
“Persoalan sokongan saya sebagai ahli lembaga pengarah untuk kenaikan
tol tidak timbul langsung. Isu kenaikan tol tidak pernah dirujuk kepada
Ahli Lembaga Pengarah untuk dibincang,” dakwanya dalam satu kenyataan
media hari ini.
Sivarasa dalam pada itu cuba mengalih isu beliau ke atas kerajaan dengan
mendakwa SPRINT terpaksa menaikkan kadar tol selepas menerima surat
daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang memaklumkan kerajaan
tidak akan membayar lebih pampasan kepada syarikat itu lagi.
Menurutnya, ekoran itu, kenaikan tol terpaksa diumumkan oleh syarikat tersebut.
“Saya tidak setuju dengan kenaikan tol yang telah diumumkan. Saya akan
menulis kepada Pengerusi syarikat SPRINT, Ir Yusuff Daud untuk memanggil
satu mesyuarat khas dan kaji semula perkara ini,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment